LATIFF (kanan) harap rakan sepasukan berhati-hati dengan keupayaan Selangor. -Foto fail
Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my


“SAYA tidak lihat pasukan Selangor mudah untuk ditewaskan, tapi saya sifatkan skuad itu bagaikan harimau luka selepas ditundukkan Perak, Ahad lalu,” kata pemain Terengganu FC (TFC), Latiff Suhaimi.

Latiff berkata demikian menjelang pertemuan dengan skuad Red Giants pada pusingan ketiga Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini Jumaat ini.

Menurut arkitek skuad Penyu itu yang kini bermain di posisi pertahanan tengah, keupayaan Red Giants tidak boleh dipertikaikan lagi dan harus diawasi setiap gerakannya walaupun mengalami kekalahan 0-3 kepada Perak, Ahad lalu.

“Biarpun aksi skuad kendalian P Maniam itu tidak begitu konsisten sejak kebelakangan ini apatah lagi saya difahamkan penyokong pasukan itu mendesak jurulatihnya supaya meletak jawatan, tapi bagi kami reputasi skuad itu yang muncul juara Piala Malaysia sebanyak 33 kali harus dihormati.

“Apatah lagi skuad itu juga memiliki beberapa pemain berpengalaman seperti kapten Razman Roslan, Amri Yahyah, Joseph Kalang Tie, Azamuddin Akil serta senjata importnya yang diketuai penyerang, Rufino Segovia serta dua pemain dari Indonesia, Evan Dimas dan Ilham Armaiyn.

“Dengan kekuatan pemain lawan selain format perlawanan kalah mati, boleh kami rumuskan bukan senang untuk menjinakkan skuad itu walaupun kami pernah tumpaskan mereka 4-1 dalam saingan liga bulan lalu,” kata Latiff.

Pada aksi Liga Super bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) Sabtu lalu, pemain yang pernah menyarung jersi skuad T-Team itu mendapat pujian ketua jurulatih Irfan Bakti Abu Salim selepas beraksi cemerlang meskipun bermain di posisi baru sebagai pertahanan tengah.

Mengulas lanjut, bekas pemain kebangsaan dan kapten skuad TFC musim lalu itu menyatakan pasukannya kini sudah bersedia untuk menambah derita Selangor dalam misi untuk melangkah ke suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Mac 2018 @ 1:53 PM