SKUAD Pahang perlu gunakan kelebihan beraksi di laman sendiri. -Foto fail


PENGURUS Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang menganggap pertemuan skuad itu dengan Kedah diibaratkan ulangan final Piala FA musim lalu.

Justeru, beliau mahu pemain tidak mensia-siakan kelebihan yang dimiliki iaitu beraksi di laman sendiri untuk mengisi slot suku akhir piala berprestij itu.

Katanya, prestasi mantap yang dipersembahkan dalam saingan Liga Super diharap diterjemahkan pada aksi pusingan ketiga piala itu di Stadium Darul Makmur, di sini, Sabtu ini.

“Perkara utama yang perlu ditekankan semua pemain adalah disiplin dalam padang kerana Kedah sudah pasti mahu mempertahankan piala itu.

“Walaupun Pahang mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri, lawan dijangka memberi tentangan sengit dan pemain perlu lebih berwaspada terutama mengelak daripada melakukan kesilapan mudah.

“Kekalahan 3-4 kepada Kuala Lumpur pada aksi Liga Super juga bukan jaminan mudah buat Pahang untuk mencatat kemenangan,” katanya.

Suffian berkata, kemenangan besar 4-0 ke atas Negeri Sembilan Sabtu lalu, diharap menjadi sumber inspirasi mengekalkan rentak cemerlang.

Pada aksi final Piala FA musim lalu, Helang Merah menang 3-2 ke atas skuad Tok Gajah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Mac 2018 @ 2:13 PM