PENJAGA gol hoki negara, S Kumar bakal mengetahui nasibnya selewat-lewatnya 5 April depan. - Foto HAFIZ SOHAIMI
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@nstp.com.my


PENJAGA gol utama pasukan negara, S Kumar bakal mengetahui nasibnya selewat-lewatnya 5 April depan selepas Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) meminta tempoh 21 hari lagi untuk membuat keputusan berhubung hukuman ke atas pemain berusia 38 tahun itu.

 Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal berkata, pihaknya menerima emel daripada badan induk berkenaan hari ini berkaitan kes Kumar yang didapati positif menggunakan bahan terlarang sibutramine ketika kempen Piala Asia di Dhaka, Bangladesh, Oktober tahun lalu.

 Perkembangan terbaru itu sekali gus menyaksikan Kumar bakal berdepan dua kemungkinan – FIH mungkin terus menjatuhkan hukuman ke atasnya atau menetapkan tarikh bagi sesi pendengaran.

 "Sebelum ini kami sudah menghantar segala dokumen dan bukti mengenai Kumar kepada FIH untuk tujuan mengemukakan rayuan.

 "Bagaimanapun hari ini FIH membalasnya dengan meminta tempoh 21 hari lagi atau selewat-lewatnya 5 April untuk membuat keputusan.

 "Jadi ada kemungkinan hukuman terus dijatuhkan dan tidak ada sesi pendengaran atau sebaliknya," katanya ketika ditemui pada sidang media selepas majlis penyerahan Sistem Analisis Prestasi Sukan Institut Sukan Negara (ISN)-MHC hari ini.

 Jelas Subahan, beliau berharap FIH tidak akan mengadakan sesi pendengaran bagi mempercepatkan proses untuk Kumar kembali beraksi bersama skuad kebangsaan.

 "Saya tak berani untuk bercakap lebih lanjut kerana bimbang mengganggu perjalanan kes ini. Jadi sama-sama kita nantikan apakah keputusan FIH nanti.

 "Tapi kami memang berharap dapat menggunakan khidmat Kumar untuk Sukan Asia di Indonesia nanti," katanya.

 Kumar kini menjalani hukuman penggantungan sementara yang menyaksikannya tidak dibenarkan terbabit dengan sebarang aktiviti hoki termasuk bersama skuad kebangsaan.

 Penjaga gol veteran negara itu membuat keputusan untuk tidak mencabar Sampel B, sebaliknya menunggu FIH untuk menentukan tarikh sesi pendengaran bagi membolehkannya membela diri.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Mac 2018 @ 12:22 AM