PEMAIN FELDA United, Thiago Agusto Fernandes (kiri) mengasak pemain UKM FC, Saiful Hasnol pada saingan Piala FA, sebentar tadi. - Foto FARIZUL HAFIZ AWANG
Nik Sukry Ramli
niksukry@bh.com.my


SKUAD kendalian B Satianathan, FELDA United kekal selaku pasukan pilihan untuk mara ke peringkat suku akhir Piala FA, apabila menewaskan UKM FC 2-1 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, dekat sini, sebentar tadi.

Dalam pertembungan tadi, UKM FC yang dibimbing Sulaiman Hussin terlebih dulu melakukan kejutan selepas cukup cemerlang pada awal babak pertama. Pelawat memperoleh gol pendahuluan seawal minit keenam, hasil jaringan pemain import mereka, Kipson Atuheire.  

Tersentak dengan gol awal pelawat itu, skuad The Fighters kembali memperkemaskan jentera tengah dan serangan untuk memburu gol penyamaan.

Hasilnya, mereka memperoleh gol pertama pada minit ke-13, melalui rembatan cantik Gilberto Valdenesio Fortunato.

UKM FC turut meningkatkan serangan melalui gerakan serangan balas pantas ke arah kubu pertahanan FELDA United, namun percubaan mereka digagalkan penjaga gol The Fighters, Mohd Farizal Harun.

Usaha FELDA United memburu gol kedua berhasil apabila Thiago Augusto Fernandes menyempurnakan bola muntah hasil sepakan percuma Wan Zack Haikal Wan Nor pada minit ke-39, yang gagal ditangkap kemas penjaga gol UKM FC, Mohamad Khairi Hassan. 

Kedudukan 2-1 kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki aksi babak kedua, kedua pasukan terus saling mengasak bagi menambah jaringan, namun banyak peluang yang diraih  disia-siakan pemain kedua-dua pasukan.

FELDA United berpeluang menambah jaringan pada minit ke-83, selepas memperoleh sepakan penalti apabila Muhammad Hadin Azman dijatuhkan pemain pertahanan UKM FC, Saiful Hasnol Mohd Raffi.

Namun, sepakan penalti diambil Thiago Augusto Fernandes berjaya ditampan keluar Mohamad Khairi Hassan. Kedudukan 2-1 itu kekal sehingga tamat permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Mac 2018 @ 11:28 PM