MATIC (tengah) jaring gol kemenangan United ketika menentang Brighton. -Foto Reuters
AFP

MANCHESTER: Romelu Lukaku dan Nemanja Matic, dua pemain yang terselamat daripada kritikan pengurus, Jose Mourinho meledak gol bagi membantu Manchester United mara ke separuh akhir Piala FA dengan kemenangan 2-0 ke atas Brighton di Old Trafford, awal pagi tadi.

Lukaku meledak gol pembukaan pada minit ke-37 yang juga gol ke-25 miliknya pada musim ini berpunca daripada hantaran jarak jauh Matic dari luar kotak penalti yang disambar penyerang Belgium itu di depan pintu gol.

Ia sering dilakukan Lukaku musim ini dengan pemain tinggi lampai itu bijak melepasi kawalan Lewis Dunk untuk menanduk masuk gol yang hampir sukar dihalang penjaga gol Brighton, Tim Krul.

Berbaki tujuh minit sebelum permainan berakhir, Matic dengan bijak menyambar sepakan percuma Ashley Young dan menanduk masuk gol kedua tuan rumah untuk mematikan perjuangan pelawat.

Mourinho sebelum ini menggunakan sidang media sebelum perlawanan, Jumaat lalu untuk mengkritik pemainnya sambil memetik beberapa nama pemain yang tidak beraksi dengan konsisten musim ini.

Tetapi penyerang, Lukaku dan Matic mendapat pujian.

Sama ada tidak sengaja atau tidak, pengendali dari Portugal itu meninggalkan dua pembelian hebatnya, Paul Pogba dan Alexis Sanchez daripada kesebelasan utama sekali pun Piala FA menjadi satu-satunya trofi yang boleh dimenangi United pada musim ini.

Pada aksi yang berlangsung dalam keadaan bersalji itu, perlawanan tampak seimbang sebelum setengah jam perlawanan sebelum gandingan Juan Mata dan Anthony Martial hampir meledak gol pembukaan tetapi ia tersasar.

Brighton turut terlepas peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan apabila sepakan sudut Pascal Gross berjaya disambar Dunk tetapi rembatannya diselamatkan penjaga gol United, Sergio Romero.

Pelawat memulakan babak kedua dengan lebih bersemangat dan berjaya mencipta beberapa peluang yang memaksa Romero melakukan aksi menyelamat baik tetapi United jelas lebih tajam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Mac 2018 @ 7:29 AM