RODRIGO (tengah) jaring gol pembukaan buat Valencia. -Foto AFP
AFP

MADRID: Rodrigo dan Simone Zaza mencetak nama selaku penjaring ketika Valencia menewaskan Alaves 3-1, awal pagi tadi untuk membawa kelab itu ke tangga ketiga La Liga di atas Real Madrid.

Menerusi gandingannya bersama pemain kelahiran Itali, Zaza, Rodrigo membuka tirai jaringan untuk Valencia pada minit ke-19 di Stadium Mestalla yang juga gol keempatnya dalam tiga perlawanan.

Zaza kemudian menggandakan kelebihan selepas setengah jam perlawanan berlangsung sekali gus gol ke-12 untuknya musim ini tetapi Ruben Sobrino mengurangkan defisit pada awal babak kedua.

Bagaimanapun, gol sendiri daripada pertahanan tengah, Victor Laguardia pada minit ke-54 mengesahkan kemenangan keenam daripada tujuh perlawanan terakhir Valencia dalam liga sekali gus memiliki kelebihan dua mata di atas Real yang dijadual menentang Girona, awal pagi esok.

“Pasukan bermain dengan baik, separuh masa pertama yang menakjubkan. Kemudian gol pada babak kedua (Alaves) mencemaskan kami tetapi kami bangkit dengan pantas menerusi gol ketiga,” kata pengurus Valencia, Marcelino Garcia.

Sementara itu, Real Betis menghampiri tiket ke Liga Europa selepas mencatat kemenangan 3-0 ke atas Espanyol manakala Getafe ketinggalan satu kedudukan di belakang selepas merakam kemenangan 2-1 di Real Sociedad.

Dua kelab yang berada di zon penyingkiran, Deportivo La Coruna dan Las Palmas tidak mengubah situasi mereka susulan keputusan seri 1-1 yang dicatat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Mac 2018 @ 12:15 PM