LEGENDA bola sepak Brazil, Roberto Carlos akui bola sepak Malaysia mampu diperbaiki namun tegasnya untuk berjaya pemain sendiri perlu memainkan peranan. - Foto Bernama
LEGENDA bola sepak Brazil, Roberto Carlos akui bola sepak Malaysia mampu diperbaiki namun tegasnya untuk berjaya pemain sendiri perlu memainkan peranan. - Foto Bernama
Aida Adilah Mat


BUKAN satu yang mustahil buat bola sepak negara untuk memperbaiki ranking namun sesuatu perlu dilakukan bermula dari peringkat bawah hinggalah ke pucuk kepimpinan badan induk sukan itu.

Menurut legenda bola sepak Brazil, Roberto Carlos selain organisasi dan jurulatih yang baik, latihan yang konsisten serta penjaga gol yang berkaliber mampu menjulang sesebuah negara itu ke peringkat lebih tinggi.

  “Tapi anda perlu belajar daripada kelab Eropah. Bagaimana Real Madrid boleh berjaya. Belajar cara Jerman bermain. Kaji cara mereka. Tonton video untuk memperbaiki permainan.

  “Terus berlatih dan pastinya anda akan berjaya nanti,” kata Carlos, ketika ditemui hari ini.

  Carlos yang hadir ke negara ini sebagai duta global terbaru Air Asia bagaimanapun melontarkan keyakinan bahawa standard bola sepak Malaysia mampu diperbaiki namun tegasnya untuk berjaya pemain sendiri perlu memainkan peranan.

   “Hormati lawan, hormati pasukan dan jurulatih. Jangan bertindak sebagai seorang pemain yang besar kepala. Pandang ke depan untuk menjadi lebih baik,” katanya.

   Menceritakan kembali pembabitannya bersama skuad Brazil, Carlos berkata sepanjang 16 tahun bersama skuad kebangsaan negara itu, dia tidak pernah menolak tawaran untuk bersama skuad itu biarpun ada kalanya dihantui kecederaan.

  “Dapat bermain untuk negara itu satu penghormatan terbaik.

  “Saya tidak pernah menolak dan sentiasa mahu mewakili Brazil. Saya bangga bersama Brazil sepanjang 16 tahun pembabitan saya,” katanya.

  Terdahulu pemilihan Carlos sebagai duta baru Air Asia bertepatan dengan kejayaan pemain itu di pentas bola sepak dunia.

  Diberi gelaran ‘The Bullet Man’ Carlos mewakili Brazil di tiga edisi Piala Dunia dan antara watak penting kejayaan Brazil ketika menjulang Piala Dunia 2002 yang berlangsung di Korea dan Jepun.

  Bekas pemain Real Madrid yang pernah menjulang Piala Dunia bersama Brazil pada 2002 berkata, dia tidak akan menolak untuk memenuhi jemputan terutama daripada kelab di bawah kendalian Air Asia seperti PJ Rangers selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Mac 2018 @ 4:52 PM