BEKAS penyerang Liverpool, Ian Rush. - FOTO EPA-EFE
Reuters

LONDON: Bekas penyerang Liverpool, Ian Rush tidak kisah jika Mohamed Salah memecahkan rekod jaringan semusim miliknya di kelab itu tetapi menegaskan trofi sebagai ukuran yang lebih baik buat peledak Mesir itu di Merseyside.

Salah menjaringkan 28 gol dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dan 36 gol dalam semua kejohanan, jumlah gol terbanyak pernah dijaringkan oleh pemain Liverpool pada penampilan sulung mereka bersama kelab.

Tonggak kebangsaan Mesir itu amat prolifik pada musim ini sehingga rekod jaringan Rush iaitu 47 gol dalam 65 perlawanan yang dilakukannya pada musim 1983-84 hampir untuk dipecahkan.

Dalam satu temuramah bersama ESPN, Rush, yang rekodnya membantu jurulatih Liverpool ketika itu Joe Fagan menjulang gelaran liga, Piala Eropah dan Piala Liga berkata gol yang dijaringkan Salah perlu diikuti kejayaan yang sama bagi menjadikannya lebih diingati.

“Sudah tahu kamu mahu rekod kamu terus bertahan, tetapi apabila kamu berkait rapat dengan Liverpool, kamu tidak kisah jika ia dipecahkan kerana ia bermakna mereka mengharunginya dengan baik,” kata Rush.

“Mungkin perbezaannya ialah ketika saya menjaringkan 47 gol, kami menang tiga trofi. Itulah yang kami perlu mula untuk lakukan sekarang... Ia hebat untuk memenangi trofi individu (tetapi) saya lebih gembira jika kami menang tiga trofi berbanding menjaringkan 47 gol.”

Liverpool ketika ini tampak sudah tidak mampu menghalang Manchester City daripada menjuarai gelaran EPL dan memburu tempat kedua selepas mengumpul 63 mata daripada 30 perlawanan.

Mereka ketika ini berada di tangga ketiga liga dan ketinggalan dua mata di belakang Manchester United.

Satu-satunya peluang kelab itu untuk menjulang trofi pada musim ini adalah di kancah Liga Juara-Juara di mana skuad kendalian Juergen Klopp dijadual bertemu City pada aksi pertama peringkat suku akhir di Anfield pada 4 April.

Rush, 56, yang juga penjaring gol terbanyak Liverpool dalam sejarah dengan 346 gol berkata Salah perlu terus meningkat bagi mengekalkan tahap kejayaan yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Mac 2018 @ 12:26 AM