FAJER (kiri) diharap dapat kembalikan sengat TRW. -Foto ihsan KAFA
Attirmidzie Rahman


PERSATUAN Bolasepak Kelantan (KAFA) mengumumkan ‘pangkat’ Fajer Ibrahim diubah kepada ketua jurulatih The Red Warriors (TRW) berkuat kuasa, hari ini.

Bekas jurulatih kebangsaan Syria yang dilantik sebagai Pengarah Teknikal KAFA bermula minggu lalu kini diberi kuasa sepenuhnya membentuk pasukan itu menghadapi cabaran Liga Malaysia (Liga-M) sambil dibantu Yusri Che Lah.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, pihaknya meletakkan keyakinan tinggi terhadap kemampuan jurulatih berusia 53 tahun itu bagi membentuk semula TRW.

“Fajer akan menjadi ketua jurulatih dan kita akan beri kuasa sepenuhnya kepada beliau untuk membentuk semula pasukan.

“Kita harap Fajer menurunkan segala ilmu dan pengalamannya dalam meningkatkan prestasi pasukan. Malah, kita harap pemain dapat menerimanya dan mempamerkan aksi sebenar setimpal dengan bayaran yang diterima mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada masa sama, Bibi Ramjani turut menegaskan sudah tiba masa pihaknya memberi penekanan terhadap disiplin setiap pemain untuk membentuk pasukan yang mantap.

“Sebelum ini, kita ikut apa yang pemain mahukan dan sekarang mereka juga perlu ikut apa yang kita inginkan demi mencapai sesuatu kejayaan.

“Kita perlu ingat pasukan bukan berada pada kedudukan selesa dalam liga, jadi kita mahu mendidik supaya pemain betul-betul memperagakan kemampuan masing-masing supaya dapat membantu pasukan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Mac 2018 @ 6:10 PM