SMYTH (tengah) rai gol jaringannya bersama rakan. - Foto AFP
AFP

BELFAST: Paul Smyth muncul wira Ireland Utara selepas masuk sebagai pemain gantian pada penampilan antarabangsa pertamanya untuk meledak gol penentu dalam kemenangan 2-1 ke atas Korea Selatan yang akan beraksi Piala Dunia Russia Jun ini.

Aksi persahabatan berkenaan hanya berbaki enam minit apabila penyerang 20 tahun Queens Park Rangers itu dimasukkan oleh pengendali Ireland Utara, Michael O’Neill dan dia hanya memerlukan dua minit untuk merobek gawang Korea Selatan.

Conor Washington mengatasi pertahan Korea Selatan dan Smyth yang mendapat bola memastikan peluang keemasan itu dimanfaatkan dengan menewaskan penjaga gol lawan Kim Seung-Gyu.

Korea Selatan menguasai hampir keseluruhan babak kedua, tetapi gagal menambah jaringan selepas babak pertama berkesudahan dengan keputusan 1-1 hasil jaringan penyamaan Kwon Chang-Hoon selepas Kim Min-Jae menjaringkan gol sendiri.

Jaringan Smyth itu melengkapkan minggu cemerlang buat penyerang itu yang dua hari sebelumnya, bermain untuk skuad bawah 21 tahun negaranya yang tewas 5-3 kepada Sepanyol.

“Saya bertanya kepadanya sama ada dia masih mampu berlari untuk tempoh 10 minit memandangkan dia bermain penuh tempoh hari,” kata O’Neill ketika ditanya apa yang diarahkannya kepada Smyth semasa di bangku simpanan.

“Saya memberitahunya untuk masuk dan menikmatinya. Dia menyukainya, seperti yang anda lihat. Kesungguhannya boleh berjangkit, pemain-pemain sukakannya, dia kenal semua pemain kerana dia menghabiskan tempoh 40 hari bersama mereka di Perancis (Euro 2016).”

Pengendali Korea Selatan Shin Tae-Yong mengakui kehadiran Smyth yang tidak begitu dikenalinya memerangkap skuad kendaliannya.

“Saya perlu akui yang kami tidak mempunyai banyak maklumat berkenaan pemain ini,” kata Tae-Yong.

Berbeza dengan Korea Selatan, Ireland Utara tidak akan ke Russia 2018 selepas penalti kontroversi menjadi punca kepada kekalahan 1-0 kepada Switzerland pada playoff timbal balik pusingan kelayakan.

Korea Selatan akan memulakan kempen Piala Dunia pada 18 Jun menentang Sweden sebelum berdepan Jerman dan Mexico dalam Kumpulan F.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Mac 2018 @ 1:53 PM