JOSE MOURINHO
JOSE MOURINHO
Agensi

MANCHESTER: Pengendali Manchester United Jose Mourinho tidak akan tunduk kepada bintang-bintang seperti Paul Pogba dan Luke Shaw kerana dia tidak percaya kuasa pemain akan membuatkannya dipecat di Old Trafford.

Disokong dengan kontrak baharu Januari lalu, Mourinho yakin dia mempunyai sokongan padu naib pengerusi eksekutif United Ed Woodward dan lembaga pengarah kelab dan mana-mana pemain yang tidak berpuas hati akan dipaksa keluar terlebih dulu.

Mourinho terbabit dalam kontroversi dengan sebahagian pemainnya sejak beberapa minggu lalu.

Dia menggugurkan pemain paling mahal yang ditandatanganinya, Pogba bernilai 89 juta pound (RM489.5 juta), dan meminta Shaw menampilkan persembahan lebih baik di benteng pertahanan United dengan cara yang agak kasar.

Pemain-pemain United mula menghidu ketegangan antara Pogba dan Mourinho apabila kedua-dua pihak itu jarang berkomunikasi.

Pemain tengah Perancis itu dipercayai berang terhadap layanan diterimanya dan percubaannya mencelah ketika wawancara televisyen bersama Mourinho tidak disukai pengendali itu.

Pengendali skuad kebangsaan biasanya jarang terbabit dalam isu berkaitan kelab tetapi pengendali Perancis, Didier Deschamps membuat pendedahan berkenaan situasi terkini Pogba.

“Dia tidak mampu untuk gembira dengan apa yang dilaluinya bersama kelab,” kata Deschamps.

Timbul spekulasi yang perubahan besar bakal berlaku di Old Trafford musim panas ini dengan beberapa pemain utama antaranya Juan Mata, Anthony Martial dan Chris Smalling bakal terancam dalam usaha Mourinho merapatkan jurang dengan Manchester City.

United sudah membelanjakan lebih 300 juta pound (RM1.65 bilion) ke atas pemain sejak Mourinho dilantik pada tahun 2016.

Walaupun United menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tangga keenam musim lalu, Mourinho terus dilanjutkan kontrak sehingga tahun 2020 kerana berjaya lolos ke Liga Juara-Juara menerusi tiket juara Liga Europa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Mac 2018 @ 2:41 PM