PELUMBA pecut negara, Mohd Fadhil Zonis tekad untuk melunaskan impian melakar dua rekod kebangsaan. - Foto Eizairi Shamsudin
Azlan Muhammad Zain


PELUMBA pecut negara, Mohd Fadhil Zonis mempunyai misi berganda apabila turun beraksi pada temasya Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, minggu depan.

Dia tekad untuk melunaskan impian melakar dua rekod kebangsaan iaitu dalam acara pecut berpasukan dan satu kilometer ujian masa.  

"Saya berharap cubaan kali ketiga akan membuahkan hasil berdasarkan prestasi semasa latihan yang positif,"  katanya di sini, hari ini.

Usahanya bersama  Muhamad Shariz Efendi Mohd Shahrin dan Muhammad Khairil Nizam Rasol memadamkan rekod kebangsaan dalam acara pecut berpasukan yang dilakukan Azizulhasni Awang, Mohd Rizal Tisin dan Josiah Ng pada Olimpik 2008 dengan masa 44.725 saat, tidak kesampaian ketika Sukan SEA 2017 dan Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2018.

   

Lebih mengecewakan adalah usahanya untuk memadam rekod acara satu kilometer ujian masa yang masih dipegang Rizal ketika Kejohanan Trek Dunia 2009 dengan masa seminit 01.658s turut masih belum tertunai.

   

"Saingan di Sukan Komanwel amat tinggi. Saya berharap ia bakal memberikan motivasi tambahan dalam meningkatkan prestasi di sana nanti dengan kehadiran ramai jaguh dunia.

   

"Saya sudah bersedia untuk Sukan Komanwel kerana sudah mendapat rentak kayuhan yang diinginkan ketika latihan. Jadi saya berharap cubaan kali ketiga akan berhasil," katanya.

Fadhil antara 13 pelumba trek negara berlepas ke Gold Coast yang diketuai Azizulhasni.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Mac 2018 @ 9:29 PM