PENJAGA gol Sabah, Robson Rendy Rining dipilih sebagai Pemain Terbaik Bulanan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia PFAM-asiana.my bagi bulan Februari. - Foto Ryan Stanley

PENJAGA gol Sabah, Robson Rendy Rining dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Pemain Terbaik Liga Premier Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM)-asiana.my bagi bulan Februari.

Robson meraih anugerah itu selepas menerima undian tertinggi iaitu 92.57 peratus (2,468) undi.

Dia mengalahkan empat calon lain iaitu Lucas Pugh dari UiTM FC (4.99 peratus), Gilberto Fortunato dari FELDA United FC (1.73 peratus), Anselmo Arruda Da Silva Casagrande dari Felcra FC (0.30 peratus) dan Zarko Korac dari Kuantan FA (0.34 peratus).

Pemain berusia 25 tahun itu menerima sebuah trofi dan sebingkai gambar sumbangan asiana.my, selain wang tunai RM500 sumbangan 139 Associates dan MK, jersi tajaan PaddyGear, produk minyak wangi tajaan BB7, kasut sukan tajaan AY Sports dan perapi rambut tajaan Major Pomade.

"Saya amat gembira dengan anugerah ini dan pastinya saya berterima kasih kepada peminat yang mengundi saya. Tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada PFAM yang mengambil inisiatif untuk menganjurkan anugerah ini.

"Dengan anugerah yang saya terima ini, saya tidak akan menoleh lagi dan pastinya akan terus memberi komitmen terbaik untuk pasukan yang saya wakili,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan PFAM hari ini.

Anugerah itu disampaikan oleh Presiden PFAM, Rezal Zambery Yahya di Kota Kinabalu hari ini, pada majlis yang turut dihadiri Setiausaha PFAM, Ahmad Fauzi Saari dan Bendahari PFAM, Rudie Ramli serta Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail.

Pemenang anugerah bulanan itu ditentukan menerusi undian di laman web rasmi PFAM, www.pfam.my, yang dibuka selama seminggu untuk peminat bola sepak tempatan memilih calon kegemaran mereka.

-- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Mac 2018 @ 10:13 PM