AZIZULHASNI tarik diri daripada acara pecut individu akibat masalah kesihatan. -Foto fail
AZIZULHASNI tarik diri daripada acara pecut individu akibat masalah kesihatan. -Foto fail
Ajitpal Singh dan Nor Hairulnizam Wahid

 

Skuad berbasikal negara berdepan tamparan hebat selepas jaguhnya, Azizulhasni Awang terpaksa menarik diri dalam acara pecut individu akibat masalah kesihatan.

Pelumba yang berpangkalan di Melbourne itu berdepan masalah jangkitan di paru-paru, namun tetap akan bertanding dalam acara keirin, esok.

Jurulatih berbasikal negara, John Beasley menjelaskan Azizulhasni yang lebih dikenali sebagai ‘The Pocket Rocketman’ belum begitu sihat.

“Azizulhasni tidak akan beraksi dalam acara pecut. Dia berdepan masalah kesihatan sejak Kejohanan Berbasikal Trek Asia lagi. Kami akan lihat dulu keadaannya esok.

“Ini adalah peluang kepada Shah Firdaus Sahrom untuk menyerlah dalam acara keirin.

“Kami membuat keputusan untuk tidak membenarkan Azizulhasni bertanding begitu banyak acara memandangkan keadaannya tidak begitu baik.

“Sebagai jurulatih, saya tidak akan meletakkannya dalam bahaya,” kata Beasley.

Dalam acara pembukaan hari ini, pelumba negara gagal meraih sebarang pingat di Velodrom Anna Meares.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 April 2018 @ 10:11 PM