PEMAIN tengah Kelantan, S Veenod mahu bawa Persatuan Bolasepak Kelantan ke muka pengadilan kerana menggugurkannya tanpa sebab. - Foto Fathil Asri
Rodly Fadly
sukanteam@nstp.com.my


PEMAIN tengah, S Veenod tidak akan teragak-agak untuk mengheret Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) ke muka pengadilan jika gagal menyelesaikan isu penggugurannya daripada skuad itu secara profesional.

Veenod yang terkejut dengan keputusan KAFA itu berkata, dia kini kebingungan mengenai statusnya dalam pasukan berkenaan kerana tidak menerima sebarang surat hitam putih berhubung tindakan menggugurkannya.

“Saya hanya mengetahui hal ini melalui media sosial dan akhbar. Setakat ini saya belum menerima sebarang surat rasmi daripada KAFA. Jadi, saya anggap saya masih pemain Kelantan walaupun mereka telah mengumumkan bahawa saya sudah digugurkan. Kontrak saya bersama pasukan itu adalah dua tahun, jika mereka mahu melepaskan saya, mereka perlu membayar ganti rugi kerana saya digugurkan bukan atas dasar kecederaan.

“Saya akan menunggu surat hitam putih daripada KAFA sebelum mengambil tindakan selanjutnya. Jika ia melanggar perjanjian, saya tidak teragak-agak mengheret mereka ke muka pengadilan untuk menuntut hak saya,” tegas Venod.

Pemain yang pernah menyarung jersi Selangor itu juga turut kecewa dengan layanan diterima daripada ketua jurulatih baharu Kelantan, Fajer Ebrahim yang tidak membenarkan dia menjalani latihan bersama pasukan.

Veenod mendakwa Fajer telah mengarahkan dia pulang ketika datang untuk menjalani latihan petang semalam.

“Saya tidak dibenarkan berlatih bersama kerana jurulatih memberitahu saya sudah tidak ada dalam pasukan. Beliau kata saya tidak ada dalam perancangannya. Beliau juga menyampaikan pesanan Presiden KAFA (Bibi Ramjani Ilias Khan) yang meminta saya mencari pasukan lain apabila jendela perpindahan dibuka kelak. Jadi, saya hanya duduk di tepi padang memerhati mereka berlatih.

“Tapi, selagi KAFA tidak mengeluarkan surat, saya akan terus turun ke padang latihan seperti biasa kerana secara rasminya saya masih pemain Kelantan,” ujar Veenod.

Sejak kedatangan Fajer, Kelantan mengambil langkah drastik menyusun semula pasukan itu. Selain Veenod, turut menerima nasib sama adalah pemain import Brazil, Bruno Lopes, Ferdinand Sinaga (Indonesia), Norfarhan Muhammad, Rozaimi Azwar, Faizol Nazlin Sayuti, Sukri Abd Hamid, Shafiq Ab Rahman, Tengku Qayyum Ubaidillah dan Hattaphon Bun An.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 April 2018 @ 6:19 PM