PELUMBA Ferrari, Sebastian Vettel (tengah) raih petak pertama pada sesi kelayakan di Grand Prix Bahrain, sebentar tadi. - Foto REUTERS

PENDAHULU kejuaraan Sebastian Vettel akan memulakan perlumbaan F1 ke-200 dari petak utama selepas dia dan rakan sepasukan Ferrari, Kimi Raikkonen menguasai petak depan bagi perlumbaan Grand Prix Bahrain, malam ini.

Pemandu Jerman itu meraih petak utama ke-51 kariernya dengan catatan sepusingan mengagumkan pada saat-saat akhir sesi kelayakan di bawah lampu limpah yang mana Ferrari mendominasi.

“Ya, P1! petak utama,” kata Vettel.

“Pusingan itu bagaikan singa. Ia amat tegang... saya gembira dengan cubaan pertama hinggalah saya mensia-siakannya di selekoh terakhir jadi saya mengelakkan keadaan sama berulang pada cubaan kedua.

“Kereta ini amat menakjubkan di sini sepanjang hujung minggu ini.”

Valtteri Bottas ketiga terpantas buat Mercedes di belakang dua Ferrari namun di depan rakan sepasukannya Lewis Hamilton yang dikenakan penalti grid lima petak selepas perubahan kotak gear sepanjang malam dan bermula dari petak kesembilan.

Ia membolehkan pemandu Australia, Daniel Ricciardo dinaikkan dari petak kelima ke petak keempat buat Red Bull di depan pemandu Perancis, Pierre Gasly dari Toro Rosso dan pemandu Denmark, Kevin Magnussen dari Haas. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 April 2018 @ 1:56 AM