LIONEL Messi (tengah) meledak hatrik ketika menewaskan Leganes, awal pagi tadi. - Foto AFP

MADRID: Barcelona menyamai rekod tanpa kalah paling lama dalam sejarah La Liga, ketika hatrik Lionel Messi memberi inspirasi kemenangan 3-1 buat pendahulu itu mengatasi Leganes awal pagi tadi.

Kemenangan itu membolehkan Barcelona merekodkan 38 perlawanan liga tanpa kalah.

Gergasi Catalan itu tampak akan memecahkan rekod berkenaan yang dicipta Real Sociedad pada musim 1979-80, apabila mereka menanti kunjungan Valencia minggu depan.

Ketika ini, skuad kendalian Ernesto Valverde berbaki tujuh perlawanan sebelum bergelar pasukan La Liga pertama melalui kempen semusim tanpa kalah.

Messi menjadi bintang di Camp Nou dengan tiga jaringan, ketika Barca melebarkan kedudukan mereka di persada dengan 12 mata di depan pasukan tangga kedua, Atletico Madrid yang akan berdepan tetangga, Real Madrid awal pagi esok.

“Rekod tanpa kalah ini bukan hanya dicapai musim ini, tetapi juga musim lalu di bawah (bekas jurulatih) Luis Enrique,” kata jurulatih Barca, Valverde.

“Ia rekod yang dikongsi, kerana ia merentasi musim. Ia agak sukar, kerana ia adalah rekod yang tidak pernah dipecahkan sejak lama dulu.”

Valverde menyenaraikan skuad terbaik walaupun akur mereka akan menempuh suku akhir kedua Liga Juara-Juara awal pagi Rabu depan di Roma - dengan Messi, Luis Suarez dan Philippe Coutinho semuanya memulakan permainan.

Suarez melepaskan dua peluang terbaik untuk meletakkan Barca di depan apabila menyepak liar dan menyaksikan cubaannya diselamatkan penjaga gol pelawat, Ivan Cuellar. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 April 2018 @ 8:21 AM