PEMAIN Liverpool, Mohamed Salah. - Foto REUTERS

MOHAMED Salah berharap Jurgen Klopp akan menurunkannya seberapa kerap yang boleh bagi membantunya mencipta sejarah sebagai penjaring terbanyak Liverpool dan permintaan itu hadir menjelang aksi bertemu kelab tercorot Liga Perdana, West Bromwich Albion.

Ini bermakna, pemain sayap dari Mesir itu enggan direhatkan bagi perlawanan di The Hawthorns esok biarpun pengurus Reds, Klopp perlu memilih pasukan bagi perlawanan pertama separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Roma, Selasa ini.

Salah muncul sebagai pemain ketiga yang menjaringkan 40 gol dalam satu musim buat Liverpool di mana dia meledak gol pada perlawanan hujung minggu lalu bagi membantu kemenangan 3-0 ke atas Bournemouth.

Dia kini hanya kurang tujuh gol berbanding rekod jaringan terbanyak kelab itu yang dicatat Ian Rush - 47 gol pada musim 1983/84.

Klopp sebelum ini dijangka merehatkan Salah bagi perlawanan menentang West Brom memandangkan tiga hari selepas itu mereka akan menentang bekas kelabnya, AS Roma.

Klopp memutuskan untuk merehatkan beberapa pemain utama pada perlawanan Liga Perdana menentang Everton pada 7 April lalu, tiga hari sebelum pusingan kedua suku akhir Liga Juara-Juara di Manchester City dan perancangan itu membuahkan hasil.

Pada masa ini, tidak ada kebimbangan terhadap kecergasan Salah tetapi Liverpool mungkin mahu memberi tumpuan terhadap saingan Liga Juara-Juara selepas kedudukan mereka di liga tempatan dilihat terjamin.

Mereka perlukan maksimum enam mata daripada empat perlawanan terakhir bagi menjamin kedudukan empat terbaik Liga Perdana.

West Brom bagaimanapun masih segar dengan kejayaan mengejutkan Manchester United.

“Ada peluang cerah untuk pecahkan rekod,” kata Salah. “Menjadi nombor satu bagi kelab seperti Liverpool adalah sesuatu yang besar.

“Saya akan sangat gembira jika dapat memecahkannya. Saya mahu terus menjaringkan gol. Saya mahu nombor satu untuk rekod itu.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 April 2018 @ 6:10 PM