ANDREA IANNONE
AFP

AUSTIN: Pelumba Itali, Andrea Iannone mencatat masa terpantas pada sesi latihan bebas di pusingan terakhir awal pagi tadi sekali gus mengetepikan juara bertahan, Marc Marquez menjelang perlumbaan sebenar Grand Prix (GP)  Amerika, esok.

Iannone yang menunggang jentera Suzuki mencatat masa terpantas 2 minit 4.599 saat, mengatasi pelumba Repsol Honda itu yang hanya ketinggalan 0.56 saat.

Pelumba Yamaha, Maverick Vinales,ketiga sementara rakan sepasukannya, Valentino Rossi, keempat.

Pelumba Britain, Cal Crutchlow yang muncul pemenang bulan lalu di Argentina untuk memimpin saingan kategori MotoGP, kelima bersama jentera Honda.

Marquez mendominasi litar Texas sejak musim 2013 apabila memenangi kesemua lima perlumbaan dengan bermula  di petak pertama. Hanya Iannone berjaya mengatasi sensasi Sepanyol itu pada sesi latihan bebas sebelum sekali lagi melakukannya, hari ini.

Marquez bagaimanapun kekal yakin dengan peluangnya pada pusingan kali ini.

“Saya gembira kerana segala-galanya nampak positif. Kepantasan jentera juga cukup baik tetapi masih ada beberapa lagi yang perlu diperbaiki kerana saya belum merasai keyakinan 100 peratus.

“Saya terjatuh ketika mencuba pelarasan baru. Jadi kami perlu bekerja lebih keras,” katanya.

Tumpuan pastinya terarah kepada persaingan Marquez-Rossi selepas pelumba Sepanyol itu dilihat menjadi punca Rossi terjatuh di Argentina.

 “Saya agak gementar untuk turun beraksi di litar. Bimbang apa lagi yang akan berlaku lagi,” kata Rossi.  

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 April 2018 @ 8:07 AM