AKSI beregu campuran negara, Peck Yen Wei bersama Chen Tang Jie menentang pasukan Indonesia pada final di Stadium Juara, Bukit Kiara. - Foto SAIRIEN NAFIS
Fabian Peter
fabian.mark@nstp.com.my


PUJIAN harus diberikan buat skuad badminton negara walaupun gagal menyapu bersih semua gelaran pada aksi final Cabaran Antarabangsa Malaysia, hari ini.

Dua gelaran yang diraih di Stadium Juara, Bukit Kiara masih boleh dianggap petanda positif buat skuad badminton kebangsaan.

Pada aksi pembukaan saingan akhir hari ini, pengalaman jelas menjadi pemisah buat pilihan utama, Soong Fie Cho-Tee Jing Yi yang mengetepikan rakan senegara Lim Chiew Sien-Tan Sueh Jeou 21-13, 21-10.

“Kami sangat gembira dapat meraih gelaran sulung musim ini tapi saya rasa ia menjadi selesa apabila kami berdepan dengan rakan senegara. Kami selalu berlatih bersama dan sudah tahu corak permainan masing-masing,” kata Jing Yi yang baru saja bertukar ke bahagian beregu wanita dari perseorangan tahun lalu.

Pasangan negara itu yang mengambil alih tempat selaku gandingan nombor satu negara selepas ketiadaan Woon Khe Wei dan Lee Meng Yean (cedera), akan berlepas ke Wuhan, China malam ini untuk beraksi di Kejohanan Badminton Asia.

Dalam aksi akhir perseorangan wanita, naib juara remaja dunia 2015, Lee Ying Ying masih belum dapat mengakhiri kemarau kejuaraan apabila tumpas 10-21, 24-22, 14-21 kepada pemain muda China, Wang Zhiyi.

“Tuah tidak memihak saya. Bagaimanapun, aksi saya tidak terlalu teruk cuma melakukan beberapa kesilapan pada set penentuan. Saya bertekad untuk bangkit semula selepas ini,” kata Ying Ying yang sedar kemenangan mampu menjaminkan tempatnya dalam skuad Piala Uber.

Sejak meraih gelaran Siri Antarabangsa Romania pada 2016, Ying Ying sudah beraksi dalam tujuh perlawanan akhir di mana semuanya berakhir dengan kekalahan.

Bagi aksi akhir perseorangan lelaki, Tan Jia Wei mengakui gagal memberikan aksi terbaik selepas tumpas straight set 18-21, 19-21 kepada wakil Taiwan, Hsueh Hsuan Yi.

Bagaimanapun, tumpuan aksi akhir hari ini terarah kepada pasangan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik. Walaupun tumpas, namun mereka berjaya memberi tentangan sengit kepada bekas juara dunia dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan sebelum kecundang 17-21, 21-17, 19-21.

Aaron-Wooi Yik setakat ini sudah mara sehingga ke perlawanan akhir sebanyak tiga kali sejak 2017 dan berada pada kedudukan terbaik untuk disenaraikan dalam skuad Piala Thomas bulan depan.

Juara dalam aksi perseorangan berjaya meraih AS$1,875 (RM7,300), manakala untuk beregu AS$1,975 (RM7,700). Semua naib juara membawa pulang AS$950 (RM3,700).

KEPUTUSAN

Perseorangan lelaki

Hsueh Hsuan Yi (TPE) mn Tan Jia Wei 21-18, 21-19

Beregu lelaki

Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan (INA) mn Aaron Chia-Soh Wooi Yik 21-17, 17-21, 21-19

Perseorangan wanita

Wang Zhiyi (CHN) mn Lee Ying Ying 21-10, 22-24, 21-14

Beregu wanita

Soong Fie Cho-Tee Jing Yi mn Lim Chiew Sien-Tan Sueh Jeou 21-13, 21-10

Beregu campuran

Chen Tang Jie-Peck Yen Wei mn Andika Ramadiansyah-Mychelle Crhystine Bandaso (INA) 12-21, 23-21, 21-13

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 April 2018 @ 10:55 PM