DOLLAH (kiri) dan Abu Bakar akan menyaksikan pertembungan anak buah mereka di separuh akhir Piala FA.
Syafiq Aznan


SUDAH tiba masanya pasukan beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) tidak terlalu mengagungkan jurulatih luar, sebaliknya memberi lebih penghargaan dan peluang kepada jurulatih tempatan.

Itu reaksi Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Zulakbal Abd Karim ketika diminta mengulas mengenai kejayaan empat jurulatih tempatan membawa pasukan masing-masing mara ke pentas separuh akhir Piala FA. musim ini.

Menurut Pengajar Elit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) itu, pencapaian diraih jurulatih tempatan itu menjadi petunjuk betapa mereka memiliki mentaliti dan taktikal lebih baik menerusi kemenangan dilakar oleh barisan pemain mereka ke atas pasukan lawan.

“Jurulatih tempatan ada kelebihan kerana kalau kita lihat, semuanya sudah ‘masak’ dan memiliki pemahaman luas mengenai bola sepak tempatan, sekali gus membuktikan mereka tahu taktikal mengikut keperluan untuk menang.

“Kadangkala jurulatih import memiliki ego tersendiri dan tetap mahu gunakan falsafah sudah diterapkan, tetapi tidak sesuai dengan perlawanan akan diharungi.

“Ini menunjukkan mereka tahu apa keperluan perlu diterapkan untuk memenuhi kehendak perlawanan jangka pendek seperti Piala FA dan saya berpendapat pencapaian ini akan mengubah tanggapan bahawa jurulatih tempatan setanding dengan jurulatih import,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Empat pasukan mengesahkan tempat ke separuh akhir Piala FA musim ini dibimbing jurulatih tempatan iaitu Dollah Salleh (Pahang), Abu Bakar Fadzim (PKNP FC), Datuk K Rajagobal (PKNS FC) dan Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir (Selangor).

Malah, tiga daripadanya menundukkan jurulatih import yang menyaksikan Pahang menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) dibimbing Raul Longhi sementara PKNS FC mengetepikan Perak di bawah kendalian Mehmet Durakovic dan Selangor membenam cabaran anak buah Fabio Maciel (Kuala Lumpur).

Mengulas lanjut, Zulakbal berpendapat jaringan luas yang dimiliki jurulatih tempatan digunakan sebaik mungkin dalam usaha untuk melakukan pelan terbaik bagi membendung taktikal pasukan lawan.

“Mungkin mereka melakukan risikan dan mendapatkan maklumat daripada setiap pasukan, jadi mereka dapat merencanakan perancangan terbaik untuk mengharungi sesuatu perlawanan.

“Ini membuktikan jurulatih tempatan bijak, malah mungkin lebih baik berbanding jurulatih luar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 April 2018 @ 7:23 PM