MATUIDI (kanan) jadi mangsa ejekan perkauman ketika kasi Juventus menentang Inter Milan di San Siro. -Foto AFP
AFP

LIGA Itali kini menyiasat laporan mengenai pemain tengah Juventus Blaise Matuidi menjadi mangsa ejekan berbaur perkauman ketika aksi Serie A menentang Inter Milan di San Siro awal pagi Ahad lalu.

Pegawai disiplin Serie A berkata hari ini ketiga-tiga pemerhati mereka yang hadir di San Siro terdengar ‘sorakan berbaur diskriminasi perkauman selama beberapa saat’ yang ditujukan kepada pemain Perancis itu.

Sorakan itu dilaporkan datang dari tiga tingkat ‘Curva Verde’ yang dipenuhi penyokong Inter Milan dan berlaku 55 minit selepas sepak mula yang menyaksikan Juventus menang 3-2 dengan dua gol dalam tempoh tiga minit terakhir.

Namun sebelum sebarang tindakan boleh dibuat secara rasmi, menurut peraturan membabitkan isu perkauman dalam perlawanan liga Itali, mereka perlu mengumpul data untuk memastikan berapa ramai penyokong terbabit dalam insiden itu.

“Kami perlu mendapatkan data, termasuk anggaran tepat mengenai kawasan terbabit, selain mendapatkan pengesahan bahawa sorakan itu datang daripada ketiga-tiga paras Curva Verde, seperti yang dinyatakan dalam laporan,” menurut Serie A dalam satu kenyataan.

Hukuman itu bergantung kepada berapa ramai penyokong terbabit dan tempoh sorakan terbabit, tambahnya.

Matuidi menjadi mangsa ejekan serupa sebanyak dua kali musim ini daripada penyokong di Verona dan Cagliari.

Verona  didenda 20,000 euro (RM94,741) dan sebahagian penyokong dilarang memasuki stadium, namun Cagliari terlepas daripada hukuman biarpun kelab memohon maaf kepada pemain berusia 31 tahun itu.

Matuidi yang memiliki 64 cap bersama Perancis menyertai Juventus sebelum awal musim ini daripada Paris Saint-Germain dan menjaringkan tiga gol buat juara Itali itu.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mei 2018 @ 11:04 AM