AZLAN Johar. FOTO Amirudin Sahib
Zulfaizan Mansor

Kuala Lumpur: Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar menyarankan pasukan Liga Malaysia (Liga M) tidak terlalu kemaruk untuk menukar pemain import pada jendela perpindahan kedua bermula 7 Mei hingga 3 Jun depan.

Sebaliknya, Azlan menjelaskan setiap jurulatih perlu menyalahkan diri sendiri sekiranya pemain yang diikat sebelum ini tidak memberikan persembahan terbaik selain perlu memikirkan soal kemampuan kewangan pasukan sebelum menggantikan pemain import baru.

Malah, beliau mempersoalkan tindakan segelintir jurulatih yang terlalu kemaruk untuk menukar import setiap kali jendela perpindahan dibuka sedangkan pemain yang sedia adalah pilihan mereka sendiri pada awal musim.

“Kadang-kadang saya terfikir pemain import diambil jurulatih dan sudah tentu mereka sudah menilai kemampuan seseorang pemain termasuk menyertai perlawanan percubaan (pramusim). Tapi, kenapa bila jendela perpindahan, ramai pemain import yang ditukar.

“Saya takut ini menjadi satu perniagaan atau ada masalah lain. Bukan nak menuduh, tapi saya khuatir ada perkara yang tidak sihat berlaku kerana bila pemain digugurkan, pasukan terpaksa membayar pampasan.

“Malah, bila ambil pemain baru, adakah akan menjamin kebaikan kepada pasukan atau keuntungan pada individu? Jadi, perkara ini perlu dikaji kerana jurulatih yang nak tukar import, sedangkan pemain itu beliau yang pilih.

“Jurulatih tidak boleh hanya pandai mengambil dan membuang pemain tanpa mengambil kira kedudukan kewangan pengurusan,” kata Azlan yang juga bekas penolong jurulatih T-Team.

Boleh dikatakan hampir semua pasukan menyatakan hasrat untuk mencari pemain baru pada jendela perpindahan kedua nanti terutama Pahang dan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang masing-masing mendapatkan pengganti Francis Forkey Doe dan Jorge Pereyra Diaz.

Mengulas lanjut, Azlan tidak menafikan kepentingan jendela perpindahan kedua ini buat beberapa pasukan melakukan perubahan terutama untuk memperbaiki prestasi pasukan dan menukar pemain yang mengalami kecederaan teruk.

“Bagi kes Pahang, mereka tukar sebab Forkey Doe cedera dan selepas memainkan peranan yang penting sebagai pemain. Begitu juga Negeri Sembilan kerana Azraai (Khor Abdullah) baru dilantik sebagai jurulatih dan pemilihan pemain sebelum ini juga bukan dilakukan beliau.

“Tapi, yang peliknya pemain import disingkirkan kerana masalah prestasi, sedangkan yang pilih mereka jurulatih sendiri. Jadi, kita nak tahu adakah pemain diuji dengan lengkap termasuk melakukan saringan yang betul terhadap tahap kecederaan dan kecergasan sebelum mereka diambil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mei 2018 @ 10:05 AM