Patrick Dos Santos Cruz (kanan) dan Nor Azam Azih bersaing untuk anugerah Pemain Terbaik PFAM-Asiana.my. Foto fail HM
Zulfaizan Mansor


DUA tonggak utama Pahang, Nor Azam Abdul Azih dan Patrick Cruz disenarai bagi calon pemenang anugerah pemain terbaik bulanan Liga Super anjuran Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFAM)-Asiana.my.

Pemilihan Azam dan Cruz dilihat atas faktor sumbangan mereka membantu persembahan konsisten skuad Tok Gajah ketika ini termasuk dalam saingan Liga Super dan mara ke separuh akhir Piala FA.

Selain mereka, pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Gonzalo Cabrera turut tersenarai dalam lima calon yang dikeluarkan PFAM hari ini.

PFAM menyenaraikan dua lagi tonggak import, Wander Luiz dari Perak dan pemain tengah Kedah, Sandro Da Silva sebagai pencabar untuk merebut anugerah itu.

Melihat kepada lima calon itu, Cruz mungkin memiliki kelebihan selepas prestasi konsisten apabila mencetak nama sebagai penjaring dalam tiga perlawanan berturut-turut.

Aksi cemerlang Cruz bermula ketika meledak hatrik untuk membantu Tok Gajah menundukkan JDT 3-0 di Larkin pada aksi suku akhir kedua Piala FA, 20 April lalu.

Selepas itu, penyerang dari Brazil itu terus membuktikan ketajamannya apabila meledak satu gol ketika menewaskan Melaka United 2-0 dalam saingan Liga Super dan yang terbaru menyumbang dua gol untuk Tok Gajah mencuri tiga mata di Terengganu.

Prestasi Cruz mula meningkat selepas ketiadaan seorang lagi peledak berbisa Pahang, Francis Forkey Doe yang mengalami kecederaan serius sejak Mac lalu dan terlepas baki saingan musim ini.

Pemenang anugerah itu akan ditentukan berdasarkan undian peminat bola sepak tempatan yang boleh dibuat di laman web rasmi PFAM, www.pfam.my.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mei 2018 @ 8:13 PM