PELUMBA LCR Honda, Cal Crutchlow. FOTO MotoGP
Reuters

PELUMBA Britain, Cal Crutchlow menampilkan pecutan sempurna untuk mengetepikan cabaran pelumba kegemaran MotoGP tuan rumah sekali gus menyambar petak depan Grand Prix Sepanyol, hari ini.

Pelumba LCR Honda itu, yang menukar jentera sewaktu sesi kelayakan sebentar tadi, merakam rekod baharu litar dengan satu minit 37.653s di bawah cuaca panas Litar Jerez.

Dani Pedrosa dari Honda yang juga pemenang di Jerez tahun lalu, muncul pelumba Sepanyol terpantas dengan 0.259s, ketika Johann Zarco melengkapkan senarai pelumba garisan depan.

Juara bertahan, Marc Marquez kelima terpantas buat Honda, di belakang rakan senegara Jorge Lorenzo yang menyaksikan rakan sepasukannya di Ducati Andrea Dovizioso kelapan.

“Ia cukup baik untuk mendapat petak depan,” kata Crutchlow. “Tetapi kami di sini untuk berlumba dan kunci utamanya adalah hari perlumbaan esok.

“Saya menempuh sesi kelayakan yang hambar di Texas dan Argentina, jadi ia suatu perkara yang bagus untuk membantu Honda memulakan perlumbaan di garisan depan.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mei 2018 @ 11:26 PM