KANE (dua dari kiri) ketika melakukan rembatan. FOTO/AFP
KANE (dua dari kiri) ketika melakukan rembatan. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Tottenham Hotspur mengesahkan tempat di Liga Juara-Juara buat musim ketiga berturut-turut selepas jaringan tunggal Harry Kane menyaksikan kelab itu meraih kemenangan sukar 1-0 ke atas Newcastle di Wembley, awal pagi tadi.

Keputusan seri 1-1 yang dilakar Chelsea ketika bertemu Huddersfield juga bermakna Spurs membuka jurang empat mata dengan seteru tetangga dari London itu berbaki satu lagi perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Kemenangan juga menyaksikan skuad kendalian Mauricio Pochettino merampas kedudukan ketiga daripada Liverpool.

Selepas hanya menang satu daripada lima perlawanan sebelum ini, Tottenham tampak berisiko untuk kehilangan aksi di pentas elit Eropah itu dan lebih mengecewakan, di gelanggang baharu pasukan itu yang berkapasiti 62,000 tempat duduk pada musim depan.

Kedua-dua pasukan berpeluang untuk menjaringkan gol tetapi buntu sebelum Kane meledak gol ke-39 miliknya musim ini pada minit ke-50 berpunca hantaran pendek Son Heung-min.

Sementara itu, penyerang England, Jamie Vardy terus menghantui Arsenal apabila menyumbat satu gol menerusi penalti ketika Leicester City mencatat kemenangan bergaya 3-1.

Terpaksa beraksi 10 pemain sejak babak pertama, kekalahan menyaksikan Arsenal menjadi satu-satunya pasukan di pentas EPL gagal meraih kemenangan di gelanggang lawan pada 2018.

Sejak permulaan 2018, Gunners tewas ketujuh-tujuh perlawanan di tempat lawan.

Selepas menerima tepukan gemuruh susulan kemenangan besar 5-0 Arsenal ke atas Burnley, minggu lalu, pengurus Gunners Arsene Wenger kembali tertunduk menjelang perlawanan terakhirnya di Huddersfield, Ahad ini.

Pengendali dari Perancis itu akan meninggalkan Emirates pada penghujung musim ini selepas 22 tahun bertugas sebagai pengurus.

Pada aksi di Stadium King Power itu, Arsenal ketinggalan pada minit ke-14 menerusi jaringan Kelechi Iheanacho sebelum terpaksa bermain kurang seorang pemain selepas Konstantinos Mavropanos dilayangkan kad merah seminit kemudian.

Mavropanos diarah keluar padang kerana mengasari Iheanacho.

Ketika pelawat tampak mampu mencipta kejutan dengan menyamakan kedudukan pada minit ke-53 menerusi Pierre-Emerick Aubameyang, Leicester tidak cepat melatah apabila kembali di depan menerusi penalti Vardy pada minit ke-76 sebelum Mahrez melengkapkan jaringan pada minit ke-90.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mei 2018 @ 6:14 AM
Digital NSTP Subscribe