JURULATIH Brazil, Tite (kanan) mengumumkan senarai pemain Brazil yang beraksi di Russia. FOTO EPA-EFE
AFP

PENYERANG Neymar, yang tidak bermain sejak cedera Februari lalu, dinamakan sebagai bintang utama pasukan Brazil awal pagi tadi ketika jurulatih Tite menyatakan mereka berpeluang cerah memenangi Piala Dunia di Russia.

“Brazil satu daripada pasukan pilihan berdasarkan bola sepak yang diperagakan, berdasarkan tahap konsisten kami,” kata Tite pada majlis pengumuman pasukan di Rio de Janeiro.

Beliau berkata, pasukan kebangsaan yang memburu rekod kejuaraan Piala Dunia kali keenam, menyerlah berbanding pasukan lain kerana “agresif, menjaringkan gol.”

“Ia bukannya bermakna kami angkuh, hanya sekadar memberitahu kebenarannya,” ujar Tite.

Kembalinya Neymar kepada prestasi sebenar menjadi kunci utama. Dia tidak bermain sejak memerlukan pembedahan kerana patah tulang di kakinya ketika bermain buat Paris Saint-Germain namun kini sudah kembali berlatih.

Neymar boleh “mengembalikan kecergasan perlawanan” apabila dia turun pada aksi persahabatan menentang Croatia pada 3 Jun depan dan Austria pada 10 Jun, menurut doktornya Rodrigo Lasmar.

Brazil amat menagih kemahiran tinggi pemain itu yang menjadikannya pemain bola sepak termahal dunia dengan rekod perpindahan bernilai 222 juta euro (RM1.04 bilion) dari Barcelona ke PSG, Ogos lalu.

“Kami pastinya kuat dengan kehadiran Neymar. Dia seorang daripada tiga pemain terbaik di dunia, tapi baginya untuk berada di kemuncak prestasi dia perlukan satu pasukan mantap,” kata Tite.

Minggu lalu, pasukan itu kehilangan pertahanan kanan berpengaruh, Dani Alves kerana kecederaan lutut.

Dalam skuad 23 pemain diumumkan Tite, tempat Alves digantikan dengan dua pemain yang mempunyai keupayaan sama Danilo dari Manchester City dan Fagner, yang amat dikenali Tite ketika mengemudi Corinthians memenangi kejuaraan kebangsaan 2015.

Kempen mereka bermula menentang Switzerland pada 17 Jun depan.

SKUAD BRAZIL:

Penjaga gol: Alisson (AS Roma/ITA), Cassio (Corinthians/BRA), Ederson (Manchester City/ENG).

Pertahanan: Danilo (Manchester City/ENG), Fagner (Corinthians), Marcelo (Real Madrid/ESP), Filipe Luis (Atletico Madrid/ESP), Miranda (Inter Milan/ITA), Marquinhos (PSG/FRA), Thiago Silva (PSG/FRA), Geromel (Gremio).

Tengah: Casemiro (Real Madrid/ESP), Fernandinho (Manchester City/ENG), Paulinho (Barcelona/ESP), Renato Augusto (Beijing Guoan/CHN), Fred (Shakhtar Donestk/UKR), Philippe Coutinho (Barcelona/ESP), Willian (Chelsea/ENG).

Penyerang: Neymar (PSG/FRA), Gabriel Jesus (Manchester City/ENG), Roberto Firmino (Liverpool/ENG), Douglas Costa (Juventus/ITA), Taison (Shakhtar Donestk/UKR).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mei 2018 @ 12:14 PM