HAMIDIN MOHD AMIN
HAMIDIN MOHD AMIN
Aziman Rosdi


SEBANYAK 18 ahli gabungan yang mencalonkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin bagi jawatan presiden dijangka tidak akan lompat 'parti' meskipun dua calon baharu tampil untuk mencabar.   

Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dan bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa membuat kejutan apabila mendapat pencalonan daripada Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) dan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA).   

Pertarungan tiga penjuru itu sekali gus mencetuskan persoalan sama ada 18 ahli gabungan yang menyatakan sokongan kepada Hamidin akan menetapkan pendirian atau sebaliknya dalam pemilihan di Kongres Tahunan FAM ke-54 pada 14 Julai depan.   

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Alijus Sipil berkata, pendirian mereka tidak berubah dan beliau menjangkakan sebilangan besar ahli gabungan tetap akan memilih Hamidin berbanding dua lagi pencabar itu.   

"SAFA dari dulu lagi menyokong pencalonan Hamidin, kita lebih selesa bekerjasama dengan Hamidin. Saya rasa tak ada (tukar pendirian)," katanya ketika dihubungi, hari ini.   

Kesemua calon perlu mengesahkan pencalonan itu pada 14 Jun ini sama ada ingin bertanding atau menarik diri dan sehingga kini, Azim dan Annuar belum membuat sebarang keputusan kerana masih mahu melihat sejauh mana sokongan bakal diraih terlebih dahulu.   

Sementara itu, Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, mereka tetap mahukan Hamidin untuk mengisi kerusi yang ditinggalkan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada April lalu.   

"Kita masih dengan keputusan yang lama (memilih Hamidin). Hamidin memiliki pengalaman serta hubungan bola sepak antarabangsa yang baik," jelasnya.  

 Dalam pada itu, Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan menegaskan, tanpa manifesto, mereka tidak akan memilih calon yang kurang dikenali.   

"Sehingga kini kami tidak lagi dihubungi oleh dua calon baharu itu (Azim dan Annuar). Kalau betul kami nak tahu apa visi dan misi mereka. Hamidin kami sudah tahu dengan jelas apa perancangan yang ingin dilakukan kerana itu matlamat TMJ sebelum ini   

"Saya fikir kami memerlukan presiden sepenuh masa, bagi orang yang baharu dalam bola sepak dan orang politik memang susah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mei 2018 @ 7:26 PM
Digital NSTP Subscribe