CHIN Chai akui pemergian Elyas (gambar kecil) sebagai satu kehilangan besar buat buat sukan badminton negara. -Foto fail
CHIN Chai akui pemergian Elyas (gambar kecil) sebagai satu kehilangan besar buat buat sukan badminton negara. -Foto fail
Helmi Talkah


PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) mengucapkan takziah kepada keluarga bekas presiden badan induk itu, Tan Sri Elyas Omar yang meninggal dunia ketika menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), malam ini.

Setiausaha Kehormat BAM, Datuk Ng Chin Chai, berkata pemergian Elyas adalah satu kehilangan besar buat sukan badminton tanah air, khususnya ketika Allahyarham menjadi watak penting ketika skuad negara menjulang Piala Thomas pada 1992 di Kuala Lumpur.

“Sebagai wakil BAM, saya mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Allahyarham memberi banyak sumbangan terhadap pembangunan sukan badminton negara yang mana sehingga kini kita masih mengingati kejayaan skuad negara muncul juara Piala Thomas 1992,” kata Chin Chai ketika dihubungi.

Allahyarham, 82, menggalas tanggungjawab sebagai Presiden BAM selama lapan tahun bermula 1985 hingga 1993.

Chin Chai, berharap pemain negara yang akan beraksi pada saingan Piala Thomas/Uber di Bangkok, Thailand bermula Ahad ini akan menunjukkan prestasi terbaik untuk menghasilkan keputusan cemerlang sebagai hadiah buat Allahyarham.

“Jika Malaysia mencapai kejayaan kali ini (Piala Thomas), sudah pasti ia hadiah untuk Allahyarham yang sudah banyak menyumbang kepada pembangunan sukan badminton negara,” kata Chin Chai.

Berita berkaitan

Elyas Omar meninggal dunia

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mei 2018 @ 10:02 PM