MOHD Fadhil.
Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Pelumba trek negara, Mohd Fadhil Zonis mengakui tiada tempat automatik, sebaliknya perlu bekerja keras bagi mendapatkan tiket ke Sukan Asia di Jakarta-Palembang, Ogos depan.

Jelasnya, semua pelumba termasuk dirinya kini bersaing sengit bagi membuktikan kemampuan kepada ketua jurulatih, John Beasley menjelang temasya itu yang hanya tinggal kira-kira tiga bulan lagi.

“Saya mahu mendapatkan tempat dalam apa acara sekalipun kerana kini ramai pelumba yang bersaing untuk merebutnya. Saya tidak boleh selesa dan perlu bekerja keras terutamanya mengikuti perancangan yang ditetapkan jurulatih.

“Kami dalam fasa membina kekuatan otot dengan latihan keras dan ia bakal lebih mencabar menjelang Ramadan esok (hari ini),” jelasnya.

Selain jaguh utama, Azizulhasni Awang, Malaysia kini mempunyai lima pelumba bagi acara pecut termasuk Shah Firdaus Sahrom, Muhamad Shariz Efendi Mohd Shahrin dan Muhammad Khairil Nizam Rasol.

Keputusan terletak kepada Beasley untuk menyenaraikan jumlah pelumba yang diperlukan terutama dalam merencanakan trio terbaik bagi acara pecut berpasukan.

Fadhil antara pelumba muda yang diberikan pendedahan di pentas antarabangsa sejak beberapa tahun lalu dan dia dilihat antara paling menonjol dalam kalangan muka baru.

Pelumba itu dilihat menjadi taruhan terbaik Beasley untuk melengkapkan trio pecut berpasukan bergandingan bersama Azizulhasni dan Shah Firdaus.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 11:50 AM