LEE NYUK FAH
Fadhli Ishak


SKUAD negara mengalami satu lagi kekalahan besar dalam Kejuaraan Ragbi Asia (ARC), kali ini tumbang 67-12 kepada Korea Selatan di Stadium Asiad Namdong, Incheon, hari ini.

Skuad kendalian Lee Nyuk Fah itu ketinggalan 35-0 berakhir separuh masa, namun menunjukkan tanda kebangkitan apabila pemain naturalisasi dari Fiji, Samuela Tamanisau melakukan try sebaik bersambung babak kedua dengan conversion disempurnakan Amirul Aqil Kamsol.

Tetapi ia bertahan seketika sebelum Korea kembali menguasai dan terus melebarkan kelebihan untuk mencatat kemenangan selesa biarpun Malaysia berupaya mencatat satu lagi try menerusi Aiman Jamaluddin di hujung aksi.

Try Korea dihasilkan Kim Nam Uk (dua), Jang Min Seong (dua) dengan Ho Bum Kim, Lee Jae Bok, Jang Min Jeong, Kim Jeong Min dan Kim Jinhyeok masing-masing mencipta satu try. 

Tetapi Oh Youn Hyung paling mencuri tumpuan apabila berupaya menyempurnakan lapan conversion bersama satu penalti dan drop gol.

Ia kekalahan ketiga berturut-turut Malaysia dalam pertandingan ini selepas kalah kepada Korea (35-10) dan Hong Kong (67-8) di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebelum ini.

Skuad negara seterusnya akan beraksi dalam perlawanan terakhir menentang Hong Kong di Stadium Bolasepak Hong Kong pada 2 Jun ini.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mei 2018 @ 10:42 PM