BEKAS jurulatih PSG, Unai Emery dijangka ganti Arsene Wenger di Arsenal. FOTO AFP
Agensi

UNAI Emery muncul sebagai calon kejutan saat akhir untuk mengambil alih tugasan selaku pengurus Arsenal yang baharu.

Mikel Arteta yang kini pembantu pengurus di Manchester City kepada Pep Guardiola, menjadi pilihan mendapat tugasan itu selepas menerima persetujuan Arsene Wenger.

Namun Emery, 46, yang meninggalkan Paris Saint-Germain selepas membantu kelab Perancis itu meraih gelaran Ligue 1, memberi peluang buat pengurusan tertinggi Arsenal.

Emery memiliki latar belakang baik ketika bertugas di Sepanyol.

Dia berjaya membawa Sevilla, kelab memiliki sumber kewangan sederhana, menjadi kompetitif berbanding pencabarnya yang kaya seperti Real Madrid dan Barcelona.

Dia juga membawa kelab dari ibu kota Andalusia itu meraih kejayaan tiga kali berturut-turut dalam Liga Europa dengan satu daripada kejayaan itu ialah mengatasi Liverpool pada 2016. 

Ketika di Perancis dia juga menang Piala Liga Perancis dan Piala FA Perancis selain kejuaraan tahun ini.

Pengurus baharu di Emirates perlu bekerja dengan sumber terhad ketika Emery akan berdepan cabaran daripada apa dimilikinya di PSG, namun tugasnya ketika di Sevilla membuatkan Arsenal berminat kepadanya.

Dan ada situasi dia akan bekerjasama dengan Arteta jika Arsenal membawa semula bekas pemain tengah itu ke kelab.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mei 2018 @ 1:12 PM