PEMAIN Perak, Gilmar Jose Filho (kiri) tidak dapat beraksi menentang Terengganu FC kerana kecederaan. FOTO Effendy Rashid
Azizan Hashim


TUGAS Perak bertambah sukar bagi menghadapi Terengganu FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam esok apabila berdepan masalah kecederaan dan penggantungan beberapa pemain utama.  

Dua pemain yang sudah pasti tidak dapat diturunkan ialah bek kanan, Amirul Azhan Adnan akibat penggantungan dan penyerang utama, Gilmar Jose Da Silva kerana kecederaan.  

Kedudukan kapten, Nasir Basharuddin dan bek kiri, Nazirul Naim Che Hashim, juga masih samar-samar kerana kecederaan. 

 Jurulatih Mehmet Durakovic  bagaimanapun berkata kecederaan Nasir dan Nazirul hanya kecil dan berharap mereka mampu beraksi.  

"Agak malang ketika saya memerlukan barisan terkuat, ini pula terjadi. Kami akan terasa ketiadaan Gilmar dan Azhan," katanya.  

Jurulatih itu menjelaskan kekosongan itu memberi peluang kepada pemain lain untuk diturunkan dan membuktikan kemampuan mereka.  

Mengenai peluang anak buahnya, Durakovic sedar mereka punyai tugas berat kerana tuan rumah pasti berazam menebus kekalahan 2-3 di Ipoh pada 6 Mei lalu. 

 "Memang kami hadapi tugas sukar kerana Terengganu bukan calang-calang pasukan," katanya.  

Namun, beliau yakin pemain Perak akan berusaha sedaya upaya untuk mengutip mata bagi mempertahankan kedudukan mereka di tangga kedua setakat ini. 

 "Semangat pemain cukup tinggi dan saya yakin mereka turun dengan azam untuk tidak kalah," katanya. 

 Jurulatih itu juga yakin beraksi di bulan Ramadan bukan penghalang pemain mempamer aksi terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mei 2018 @ 6:05 PM