ISKANDAR ZULKARNAIN
ISKANDAR ZULKARNAIN
Fabian Peter


BERAKSI ketika Ramadan tentunya satu cabaran namun buat pemain negara yang beraksi di Piala Thomas, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, semuanya itu bukan satu halangan.

Pemain perseorangan negara berusia 27 tahun itu menghadiahkan mata kelima Malaysia untuk meraih kemenangan 5-0 ke atas Russia pada perlawanan pembukaan Kumpulan D. Iskandar menewaskan Rodion Alimov 21-9, 21-12 di Arena IMPACT di Muang Thong Thani, hari ini.

Iskandar yang muncul selaku pemain perseorangan ketiga selepas Lee Chong Wei dan Lee Zii Jia, adalah salah seorang pemain yang menjalani ibadah puasa selain pemain beregu lelaki, Mohd Arif Latif.

“Tentunya sukar tetapi apa yang lebih penting ialah keikhlasan hati,” kata Iskandar selepas perlawanan menentang Russia.

“Seperti yang kamu tahu, gelanggang latihan di sini sedikit panas, jadi ia sukar buat kami selaku pemain. Namun, kamu tahu akhirnya semuanya berbaloi, apabila anda melihat pasukan beraksi dengan baik dalam pertandingan.

“Yang menyukarkan lagi di sini sudah tentunya untuk mencari makanan halal,” kata Iskandar, yang kini memberi tumpuan kepada perlawanan dengan Denmark, Rabu ini.

Malaysia dijadual bertemu juara Afrika, Algeria selepas ini namun pertemuan dengan juara bertahan Eropah itu nanti bakal menentukan juara kumpulan yang menjanjikan kemaraan ke suku akhir.

“Sekiranya saya bermain untuk perseorangan ketiga, saya jangka akan bertemu sama ada Hans-Kristian Solberg Vittinghus ataupun Jan Jorgensen. Kedua-duanya sama handal, jadi kita lihat apa yang berlaku nanti.

“Saya juga perlu bersaing untuk mendapatkan tempat bersama Leong Jun Hao,” katanya lagi.

Seperti Malaysia, Denmark juga menewaskan Algeria 5-0 pada perlawanan pertama Kumpulan D, hari ini. Hanya dua pasukan teratas akan melangkah ke pusingan lapan terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mei 2018 @ 7:51 PM