PIRLO diraikan bersama rakan dalam arena bola sepak. FOTO/AFP
AFP

MILAN: Bekas bintang Itali, Andrea Pirlo tampil buat kali terakhir untuk mengucapkan selamat tinggal dalam kancah bola sepak dalam perlawanan perpisahan yang dipenuhi barisan bintang di Stadium San Siro malam tadi.

Antara barisan bintang dari seluruh dunia yang diundang memeriahkan perlawanan meraikan persaraan Pirlo membabitkan Paolo Maldini, Gianluigi Buffon, Roberto Baggio dan Frank Lampard.yang juga bekas juara dan bekas rakan sepasukannya.

Ia turut disertai Naib Komisioner FA Itali, Alessandro Costacurta bersama bekas pemain AC Milan yang lain.

“Saya fikir semua rakan saya dan penonton yang hadir menikmati keseronokan perlawanan ini, ia satu persembahan sukan dan amal,” kata pemain berusia 39 tahun itu yang diberi penghormatan kalangan 50,000 penonton.

Perlawanan itu berkesudahan seri 7-7 yang menyaksikan bekas penyerang AC Milan dan Juventus, Filippo Inzaghi melakukan hatrik manakala Pirlo memberi peluang kepadanya anaknya yang juga pemain tengah skuad remaja Juventus turut sama beraksi.

“Dia benar-benar teruja dan saya turut gembira, dia tentunya gembira bermain bola sepak, sama-sama kita lihat masa depannya

“Saya ada masa untuk berfikir mengenai haluan selepas ini. Saya berhenti seketika, tapi saya tidak meninggalkan terus padang. Pada masa depan saya mungkin menjadi jurulatih,” kata Pirlo.

“Semua kawan saya sebelum ini mengakui enggan jadi jurulatih tetapi akhirnya mereka semua memilih kerjaya itu.”

Pirlo beraksi 116 kali bersama skuad kebangsaan Itali dan menamatkan kerjaya bola sepaknya November lalu dan sepanjang kerjaya itu dia pernah mengecapi kejayaan muncul juara Piala Dunia pada 2006, dua kali juara Liga Juara-Juara dan enam trofi Serie A

Pirlo memulakan kerjayanya bersama kelab Brescia dan pernah mewakili Inter, AC Milan dan Juventus sebelum menyertai New York City FC dalam Liga MLS di Amerika Syarikat.

“Saya memilih tarikh 21 Mei kerana sempena jersi saya lagi pun Mei sebagai tanda saya memulakan kerjaya dalam bola sepak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 8:04 AM