BEKAS jurulatih Paris Saint Germain (PSG), Unai Emery ganti Arsene Wenger bimbing Arsenal. FOTO Agensi
Reuters

ARSENAL sah melantik bekas jurulatih Paris Saint Germain (PSG), Unai Emery selaku pengendali baharu mereka bagi menggantikan Arsene Wenger.

Perkembangan terbabit disahkan oleh kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, hari ini.

Emery yang menyertai PSG pada Jun 2016 meninggalkan kelab Perancis itu penghujung musim ini selepas membawa mereka memenangi tiga gelaran domestik.

Pengendali berusia 46 tahun itu sebelum ini berjaya membawa kelab La Liga, Sevilla meraih tiga gelaran Liga Europa.

"Unai memiliki rekod yang begitu baik sepanjang kariernya dan mengembangkan ramai bakat muda di Eropah. Falsafah permainan yang menghiburkan dan progresif yang ditunjukkan olehnya begitu sesuai dan menepati falsafah Arsenal.

"Kerja kerasnya dan pendekatan yang bersemangat serta nilai yang ditunjukkan sama ada dalam atau luar padang menjadikan beliau sebagai calon yang ideal untuk membawa kami ke hadapan."

Wenger bakal meninggalkan kelab London Utara itu selepas berkhidmat selama 22 tahun dan membawa pasukan itu meraih tiga gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) dan juga tujuh Piala FA.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mei 2018 @ 5:16 PM