PEMAIN TFC, Tchetche Hermann Brice Kipre (dua dari kiri) mengasak Khairul Fahmi ketika melakukan sepakan di gawang. FOTO/ROZAINAH ZAKARIA
Malik Muhamad


SKUAD Terengganu FC (TFC) menjadikan Melaka United (MU) mangsa terbaru selepas menumpaskan skuad bimbingan E Elavarasan itu 1-0 dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

Bekas pemain kebangsaan, Mohd Ashari Samsuddin muncul wira pasukan TFC apabila meledak jaringan tunggal perlawanan.

Kehilangan perancang utama Lee Tuck kerana digantung satu perlawanan tidak menjejaskan rentak permainan Terengganu yang bermula garang dengan percubaan pertama menerusi tandukan pemain pertahanan, Igor Zonjic pada minit ketiga namun terkena palang gol.

Seminit kemudian serangan balas skuad pelawat nyaris membuahkan hasil menerusi rembatan kencang pemain sayap R Gopinathan, tetapi sedikit tersasar di atas palang gol yang dikawal Wan Muhammad Azraie Wan Teh.

Skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim yang berhajat meneruskan rentak kemenangan ketiga berturut-turut memperolehi peluang kedua melalui penyerang kelahiran Brazil, Bruno Suzuki pada minit kelapan yang berjaya dihalang pertahanan pelawat, diikuti rembatan Mohd Kamal Azizi Mohd Zabri yang melepasi palang gol dikawal Khairul Fahmi Che Mat.

Bersambung babak kedua asakan pertama pelawat menerusi tandukan Yahor Zubovich melepasi palang gol pada minit ke-49 dan tendangan leret pemain tuan rumah, Suzuki sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol MU pada minit ke-53.

Pada minit ke-57 kapten, Kipre Tchetche harus menyalahkan diri sendiri apabila menolak bola tinggi melepasi palang gol sekali gus melepaskan peluang keemasan untuk mencetak nama sebagai penjaring gol biarpun hanya berdepan dengan penjaga gol.

Tiga minit berselang pemain gantian TFC, Mohd Ashari menggamatkan stadium apabila berjaya melakukan rembatan deras dari luar kotak penalti untuk mendahului perlawanan dengan 1-0.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mei 2018 @ 12:32 AM