PENYERANG Korea Selatan, Son Heung-Min (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika aksi pemanas badan menentang Honduras. FOTO Reuters
AFP

PENYERANG Tottenham Hotspur, Son Heung-min meledak jaringan menarik untuk membantu Korea Selatan menewaskan Honduras 2-0 dalam aksi pemanas badan menjelang Piala Dunia, sebentar tadi.

Dia melepaskan rembatan kaki kiri yang kencang untuk membolehkan Korea Selatan mendahului pada minit ke-60 disusuli jaringan Moon Seon-min pada minit ke-72 pada penampilan pertamanya bersama skuad negara.

Kemenangan itu memberikan motivasi kepada jurulatih Korea Selatan, Shin Tae-yong yang mengambil-alih sejak Jun selepas pemecatan Uli Stielike dan berdepan tugas sukar Kumpulan F di Piala Dunia.

Korea Selatan dijadual bertemu juara bertahan, Jerman selain Mexico dan Sweden di Russia, dan prestasi Heung-min di Daegu mencetus harapan tinggi buat Korea Selatan di Russia.

Lee Seung-woo tampil buat kali pertama dan produk sistem remaja Barcelona yang kini beraksi di Itali, mengawal bola di bahagian tengah sebelum melorongkannya kepada Heung-min untuk meledak jaringan dari luar kotak penalti.

Moon turut mencuri perhatian apabila tenang mengawal hantaran silang penyerang Red Bull Salzburg, Hwang Hee-chan apabila menewaskan seorang pemain pertahanan sebelum meledak jaringan mengatasi penjaga gol, Donis Escober.

Korea Selatan akan menanti kunjungan Bosnia-Herzegovina pada Jumaat sebelum dua aksi pemanas badan menentang Bolivia dan Senegal di Austria pada 7 dan 11 Jun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mei 2018 @ 1:19 AM