KUARTET 4X100 m lelaki (dari kiri) Khairul Hafiz, Johnathan, Nixson, Badrul dan Haiqal. FOTO/FAIL
Jumiati Rosly


GANDINGAN kuartet 4x100 meter negara pada Sukan Komanwel di Gold Coast bulan lalu yang diketuai Khairul Hafiz Jantan perlu bersaing dengan dua pelari pecut remaja - Muhd Haiqal Hanafi dan Muhammad Zulfiqar Ismail bagi merebut tempat ke Sukan Asia di Indonesia, Ogos ini.

Kuartet pada Sukan Komanwel yang terdiri daripada Khairul Hafiz, Jonathan Nyepa, Nixon Kennedy dan Badrul Hisyam Abd Manaf selain dua pelari remaja itu disenaraikan oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) bagi kata putus Jawatankuasa Pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk ke temasya di Indonesia itu nanti.

"Kita mencalonkan enam pelari ini dengan MOM memutuskan empat pelari sahaja. Kuartet yang dipilih nanti diharap dapat membuktikan kemampuan pada Sukan Asia nanti," kata Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim kepada NSTP.

Pada Sukan Komanwel bulan lalu, kuartet negara mencipta sejarah apabila mara ke final buat kali pertama dan mencatatkan masa tahunan terbaik iaitu 39.37 saat pada pusingan akhir.

Haiqal pula yang menggantikan Khairul Hafiz bersama Jonathan, Badrul Hisham dan Nixson Kennedy pada Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur berjaya mencatatkan 39.27 saat untuk mencatatkan rekod kebangsaan yang baru biarpun sekadar berada dikedudukan keempat keseluruhan.

Khairul Hafiz tidak diturunkan pada Sukan SEA itu berikutan mengalami kecederaan hamstring selepas menyaksikan dia bergelar Raja Pecut Asia Tenggara dalam acara 100m bagi mengakhiri penantian negara selama 14 tahun.

Haiqal dan Zulfiqar adalah pelari pelapis yang dikatakan bakal menyambung kejayaan Khairul Hafiz dengan kedua-dua mereka akan turun menyertai Kejohanan Olahraga Remaja Asia ke-18 di Gifu, Jepun pada 7 hingga 10 Jun ini.

Biar siapa pun terpilih ke Sukan Asia nanti, kuartet negara perlu melipat gandakan usaha bagi mendapatkan keserasian dan mempamer prestasi terbaik memandangkan rekod kemenangan pada temasya lalu di Incheon menyaksikan pemenang pingat gangsa, Hong Kong merekodkan 38.98s berbanding rekod kebangsaan negara 39.27s.

Pemenang emas ketika itu, China merekodkan 37.99s untuk melakar rekod temasya yang baru.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mei 2018 @ 2:02 PM