PEMAIN tengah Sweden, Emil Forsberg (tengah) menghantar bola kepada penyerang  Sweden, Marcus Berg (kanan). FOTO/AFP
PEMAIN tengah Sweden, Emil Forsberg (tengah) menghantar bola kepada penyerang Sweden, Marcus Berg (kanan). FOTO/AFP
Reuters

STOCKHOLM: Penyerang Isaac Kiese-Thelin terlepas peluang memberikan kemenangan buat Sweden apabila percubaannya pada lewat permainan sekadar melepasi palang Denmark, dan perlawanan pemanas badan Piala Dunia di Friends Arena berakhir 0-0.

Kedua-dua pasukan menggunakan aksi berkenaan untuk mencuba beberapa pemain sebelum kempen Piala Dunia di Russia bermula.

Dengan Christian Eriksen bersama pasangannya berada di rumah bagi menanti kelahiran anak pertama mereka, Michael Krohn-Dehli diberi kepercayaan untuk merangka serangan Denmark, tetapi gerakannya mudah dibaca pertahanan Sweden.

Gerakan terbaik Emil Forsberg hadir lewat permainan apabila dia mempamerkan kawalan bola menarik sebelum mengumpan kepada Kiese-Thelin, namun sepakan susulannya melayang melepas palang gol.

Pemain tengah Denmark William Kvist memainkan peranan sebagai pertahanan bersama-sama Thomas Delaney untuk mematikan ancaman daripada Forsberg.

Penjaga gol utama Sweden Robon Olsen yang bermain untuk kelab Denmark FC Copenhagen, tampak pulih sepenuhnya selepas patah tulang selangka pada Februari, dan dia beraksi cemerlang ketika menyelamatkan rembatan Pione Sisto.

Beroperasi dari bahagian sayap, Sisto dan Yussuf Poulsen menunjukkan kepantasan mereka yang bakal menjadi sandaran Denmark di Russia apabila memulakan kempen Kumpulan C Piala Dunia menentang Peru di Mordovia Arena pada 16 Jun ini.

Dua hari kemudian Sweden pula bertemu Korea Selatan dalam aksi pembukaan Kumpulan F di Nizhny Novgorod.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Jun 2018 @ 8:37 AM