PELUMBA MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah akhiri perlumbaan di Litar Mugello di tempat ke-12. FOTO Monster Yamaha Tech3
PELUMBA MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah akhiri perlumbaan di Litar Mugello di tempat ke-12. FOTO Monster Yamaha Tech3
Sukhairi Thani


PELUMBA MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah membawa pulang empat mata berharga di Grand Prix (GP) Itali apabila menamatkan perlumbaan di tangga ke-12, di Mugello, sebentar tadi.

Bermula dari petak ke-14 di Litar Mugello, pelumba Monster Yamaha Tech3 itu melengkapkan 23 pusingan perlumbaan dengan catatan 42 minit 05.665 saat.

Perlumbaan pusingan keenam musim itu dimenangi pelumba Ducati, Jorge Lorenzo selepas kali terakhir mengungguli saingan bersama pasukan Yamaha di GP Valencia pada tahun 2016.

Kemenangan Lorenzo itu juga menaikkan semangat Ducati apabila rakan sepasukannya, Andrea Dovizioso hanya ketinggalan 6.370s di belakangnya untuk muncul kedua terpantas.

Valentino Rossi (Movistar Yamaha MotoGP) yang menyambar petak pertamanya musim ini semalam, melengkapkan pentas podium dengan catatan, 41'49.859s.

Selepas enam pusingan, Hafizh kini berada di tangga ke-16 dalam carta pelumba MotoGP dengan  17 mata keseluruhan.

Kejayaan meraih empat mata itu juga membantu Hafizh untuk kembali berada di puncak carta muka baharu kelas perdana itu dan ketika ini berkongsi 17 mata dengan Franco Morbidelli yang menamatkan perlumbaan di tangga ke-15.

Sementara itu, dalam kelas Moto2, pelumba negara, Khairul Idham Pawi menamatkan saingan di tangga ke-18 tatkala Miguel Oliveira dari pasukan Red Bull KTM Ajo muncul pemenang dengan catatan, 39'42.018s.

Khairul Idham yang mewakili pasukan IDEMITSU Honda Team Asia melakar 40'25.918s dan ketinggalan 43.900s di belakang Oliveira sekali gus tidak meraih sebarang mata pada perlumbaan pusingan keenam musim ini.

Pelumba berusia 19 tahun itu kini berada di tangga ke-27 keseluruhan dalam carta pelumba kelas pertengahan itu dengan satu mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Jun 2018 @ 10:40 PM