PELUMBA Ducati, Jorge Lorenzo (kiri) akan bersama pasukan Honda musim depan. FOTO Agensi
Reuters

JUARA dunia tiga kali MotoGP, Jorge Lorenzo sah meninggalkan Ducati musim depan untuk menyertai Honda sekaligus bergandingan dengan rakan senegaranya dari Sepanyol, Marc Marquez.

Lorenzo, 31 yang memenangi ketiga-tiga gelaran dunia bersama Yamaha pada 2010, 2012 dan 2015 menandatangani kontrak dua tahun bersama pasukan dari Jepun itu.

Honda Racing Corporation (HRC) mengumumkan perpindahan itu dalam satu kenyataan hari ini.

“Bermula 2019, Lorenzo akan menjadi rakan sepasukan untuk juara dunia empat kali MotoGP, Marc Marquez: dua juara dengan bakat yang hebat dengan harapan tinggi yang akan menyumbang terhadap pembangunan HRC,” kata kenyataan itu.

Gandingan berkenaan menjadi satu-satunya pelumba yang menjuarai gelaran dunia MotoGP sejak penunggang Australia, Casey Stoner melakukannya pada 2011.

Selain menjuarainya tahun lalu, Marquez turut memenangi gelaran sama pada 2013, 2014 dan 2016 dengan kedua-duanya mengumpul 130 kemenangan dan 255 podium dalam kesemua kategori.

Lorenzo yang bergelut untuk mencari rentak sejak menyertai Ducati tahun lalu akan menggantikan seorang lagi pelumba Sepanyol, Dani Pedrosa yang sah meninggalkan Honda pada hujung tahun ini.

Kemenangan Lorenzo di Grand Prix Itali di Mugello, Ahad lalu adalah kemenangan pertamanya bersama Ducati tetapi ia tiba terlalu lewat untuk memperbaiki hubungannya bersama pasukan itu.

“Jika apa yang saya perlukan datang lebih awal, mungkin saya akan berkata kepada kamu, ‘Saya kekal di Ducati dan kini mempunyai dua atau tiga kemenangan’,” kata Lorenzo kepada MotoGP.com selepas perlumbaan berkenaan.

“Tetapi malangnya, ia tiba agak lewat dan kini... saya menang di sini, tetapi ia sudah terlalu lewat, dan bagi tempoh dua tahun selepas ini saya akan berada di atas jentera berbeza.”

Tempat Lorenzo, yang turut mempunyai gelaran dunia 250cc (dikenali Moto2 ketika ini) dijangka digantikan oleh pelumba Itali, Danilo Petrucci yang ketika ini berlumba bersama pasukan satelit, Pramac Ducati.

Ducati sudah pun melanjutkan kontrak seorang lagi pelumbanya, Andrea Dovizioso yang menamatkan saingan musim lalu sebagai naib juara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Jun 2018 @ 6:45 PM