PENYERANG Sepanyol, Iago Aspas (dua dari kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan selepas meledak gol kemenangan pasukan ketika aksi persahabatan menentang Tunisia. FOTO AFP
Reuters

JARINGAN babak akhir daripada pemain gantian Iago Aspas memberikan Sepanyol kemenangan kurang meyakinkan 1-0 awal pagi ini ketika mereka sampai ke penhujung persiapan ke Piala Dunia.

Jaringan Aspas hadir enam minit sebelum tamat perlawanan apabila seorang lagi pemain gantian Diego Costa berjaya memecahkan perangkap ofsaid Tunisia sebelum bergandingan dengannya.

Keputusan itu bermakna jurulatih Julen Lopetegui memastikan pasukan juara dunia 2010 itu melalui 20 perlawanan pertama di bawah kendaliannya tanpa sebarang kekalahan namun keputusannya masih belum cukup meyakinkan.

Tunisia yang turut layak ke Russia jauh lebih baik pada separuh masa pertama, mencetuskan masalah buat barisan pertahan Sepanyol dengan asakan bertali arus dan kepantasan serangan balas.

Rembatan Ferjani Sassi terus menuju kepada David de Gea selepas memanfaatkan kesilapan daripada pertahanan baru Alvaro Odriozola dalam tempoh 10 minit pertama sebelum percubaan penyerang Naim Sliti melepasi palang gol beberapa detik kemudian.

 Jordi Alba kemudiannya mengecewakan percubaan Sliti selepas itu sebelum tamat separuh masa ketika Sepanyol dilihat mula goyah.

 Lopetegui membuat beberapa pertukaran pada separuh masa kedua dan biarpun Sepanyol semakin baik, mereka tidak mempunyai kelebihan untuk menguji Aymen Mathlouthi di depan gawang Tunisia sehinggalah Aspas meledak jaringan.

Sepanyol akan memulakan kempen Piala Dunia dalam Kumpulan B pada Jumaat menentang Portugal sebelum berdepan Iran dan Maghribi.

Pasukan Afrika utara itu pula akan menentang  England, Belgium dan Panama dalam Kumpulan G.  - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Jun 2018 @ 8:16 AM