DARI KIRI, Presiden Samsung Malaysia, Kim Yoon Soo, Kelab Golf Kapten Royale Selangor, Datuk Chang See Tum, pemain golf, Hastha Rajendran, Golfer, Shariffuddin Ariffin, Pengarah Urusan Sengheng Electric (KL) Sdn Bhd, KH Lim dan Ketua Pegawai Eksekutif AIG, Antony Lee pada Majlis Menandatangani Pengajar Golf Senheng di Royale Selangor Golf Club. FOTO Hafiz Sohaimi
Farah Azharie
farahazharie@nstp.com.my


PEMAIN golf negara, Shahriffuddin Ariffin hanya mempunyai tempoh kurang setahun untuk melayakkan diri beraksi di Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

Selaku pemain profesional paling muda yang memenangi gelaran Order of Merit PGM pada usia 18 tahun, dia menyasarkan untuk bermain secara lebih kerap di Jelajah Asia dalam usaha memburu mata yang cukup untuk ke Olimpik.

“Sasaran saya sekarang ialah memenangi dua kejohanan PGM. Walaupun ia tidak menurunkan mata ranking tetapi ia akan membantu saya untuk menamatkan musim di kedudukan 60 teratas Jelajah Asia.

“Kini saya perlu memburu mata untuk ke Olimpik dan ia bermakna saya perlu bermain lebih banyak kejohanan di luar negara seperti ADT (Program Pembangunan Asia) dan Jelajah Asia,” katanya yang turut dinobatkan sebagai ikon remaja Melaka tahun lalu.

Karier Shahriffuddin mendapat sokongan padu Senheng Electric (KL) Sdn Bhd yang menghulurkan penajaan bernilai RM125,000 sepanjang lima tahun sekali gus membolehkan pemain itu beraksi di luar negara.

Sementara itu, syarikat pengeluar peralatan elektrik tempatan berkenaan turut melabur RM10,000 dalam tempoh dua tahun kepada pemain golf wanita, Hastha Rajendran.

Baru-baru ini, Hastha, 18, menandatangani biasiswa empat tahun bersama Universiti Northwestern Ohio di Amerika Syarikat dan bercadang untuk menggunakan sepenuhnya peluang yang terhidang di depan matanya.

“Dengan adanya bantuan seperti ini, saya boleh menjalani latihan secara lebih sistematik dan menyertai kejohanan bagi meningkatkan permainan saya,” kata Hastha.

Hastha yang meraih enam kejuaraan amatur enggan mengikut jejak langkah pemain wanita tempatan lain yang kini beraksi di Amerika Syarikat.

“Saya fikir mereka kurang bekerja keras dan ada yang sudah mula bosan. Mereka sepatutnya lebih bersabar.

“Saya mahu menjadi pemain terbaik dan nombor satu di universiti,” kata Hastha.

Turut hadir di majlis perjanjian penajaan yang berlangsung Royal Selangor Golf Club itu ialah kapten kelab, Datuk Chang See Tum dan Pengarah Urusan Senheng, KH Lim.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Jun 2018 @ 7:27 PM