KANE, Eric Dier dan Kieran Trippier menjalanni latihan. FOTO Reuters
KANE, Eric Dier dan Kieran Trippier menjalanni latihan. FOTO Reuters
AFP

SELEPAS bermula cemerlang dalam kejohanan utama dalam tempoh 12 tahun menerusi sentuhan kapten Harry Kane pada masa kecederaan menentang Tunisia, England pastinya mengharapkan pertemuan berikutnya dengan Panama menjanjikan lebih ketenangan.

Pemenang dua anugerah Kasut Emas Liga Perdana Inggeris, Kane menafikan kebimbangan terhadap kemampuannya berada di pentas utama menerusi dua jaringan, yang pertama daripada pemain Inggeris di Piala Dunia sejak Gary Lineker pada 1990.

Namun keupayaan Kane di Volgograd masih belum mampu menampung kegagalan rakan sepasukannya untuk menerjah gawang biarpun mendapat peluang mudah pada separuh masa pertama.

Raheem Sterling dan Jesse Lingard ternyata pincang dan ketika Kane menyelamatkan maruah England menerusi aksi separuh masa kedua, kedudukan Sterling ketika berdepan Panama mungkin terancam.

Kempen Three Lions yang dilihat tenang kini mula kecoh dalam kalangan media apabila perancangan pasukan yang dibuat Southgate secara tidak langsung didedahkan sebaik nota pembantu pengurus Steve Holland dirakam lensa ketika latihan kelmarin.

Menurut nota berkenaan, Marcus Rashford akan menggantikan Sterling manakala Ruben Loftus-Cheek  akan mengambil tempat Dele Alli, yang cedera paha ketika menentang Tunisia.

Southgate mengkritik media kerana memberikan peluang kepada pihak lawan.

"Jika saya mahu memberikan lawan peluang untuk menewaskan pasukan kami, maka ia pasti tidak memberi sebarang kelebihan,” kata Soutgate.

"Jadi sudah pasti terpulang kepada media kami sama ada untuk membantu pasukan atau tidak.”

Namun Rashford menafikan England terlalu bergantung kepada Kane untuk meledak jaringan.

"Saya tidak fikir ia berlaku dalam kumpulan ini,” kata penyerang Manchester United itu yang mengagumi kemampuan Kane untuk berada pada masa dan kedudukan yang tepat.

"Dia berjaya meletakkan dirinya pada kedudukan yang tepat. Jika kami boleh mencarinya, kami akan berbuat demikian dan dia berpeluang menjaringkan gol,” katanya.

Lagi berita Piala Dunia 2018

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Jun 2018 @ 3:42 PM