RAJAGOBAL sifatkan kegagalan anak buahnya untuk bermain secara lebih agresif menjadi punca kekalahan 0-2 di tangan Kedah. FOTO/FAIL
Izzali Ismail


KETUA Jurulatih PKNS FC, Datuk K Rajagobal menyifatkan kegagalan anak buahnya untuk bermain secara lebih agresif menjadi punca kekalahan 0-2 di tangan Kedah di Stadium Darul Aman, malam tadi.

“Kami kurang agresif dan fizikal pemain juga berada dalam keadaan tidak begitu baik untuk mengatur gerakan pada malam ini dan inilah antara penyebab kita gagal mencapai tahap permainan yang dimahukan.

“Kita tahu bukan senang untuk bermain dengan Kedah apatah lagi kami dibolosi dua gol hasil kesilapan pertahanan. Usaha kami untuk bangkit juga agak sukar.

“Dalam tempoh tujuh hari kami menempuh perlawanan yang hebat terutama dalam Piala FA serta Liga Super dan pada hari ini pula kami bertemu dengan pasukan yang kuat,” katanya.

Beliau juga mengakui pasukannya sudah sedia dengan perancangan awal di semua bahagian termasuk pertahanan dan jentera serangan yang sepatutnya mampu untuk mengekang Kedah.

“Mengikut perancangan awal, kami mahu bertahan dengan baik dan pada masa sama agresif di bahagian serangan namun kelekaan benteng menyebabkan kita melepaskan dua gol,” katanya.

Ditanya sama ada PKNS bermain dalam keadaan tertekan susulan kekalahan kepada Selangor selain memikirkan aksi separuh akhir Piala FA, Rajagobal pantas menafikannya.

“Saya mahu pemain dapatkan semula keyakinan bahawa kita boleh mencapai kemenangan dan saya bukannya berkata kita perlu menang 5-0, tak ada.... saya hanya mahu pemain lebih yakin.

“Malam ini kita lihat Kedah adalah pasukan yang bagus dan kita sudah cuba. Saya juga harus beri kredit dan pujian kepada pemain dan berharap mereka dapat teruskan semangat ini pada perlawanan akan datang.” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Jun 2018 @ 12:49 PM