COATES (kanan) ingatkan rakan sepasukan untuk mengekang pemain Portugal selain Ronaldo. FOTO/AFP
COATES (kanan) ingatkan rakan sepasukan untuk mengekang pemain Portugal selain Ronaldo. FOTO/AFP
Reuters

NIZHNY NOVHNY: Uruguay bukan saja perlu berhati-hati dengan mesin pencetak gol Portugal, Cristiano Ronaldo malah mereka sudah membuat persediaan untuk bertemu juara Eropah itu sebagai satu pasukan apabila bertemu di pusingan kedua, Sabtu ini.

Ronaldo membantu pasukannya melepasi saingan peringkat kumpulan dengan meledak empat gol dan bintang berusia 33 tahun itu menjadi watak penting untuk Portugal.

“Mereka adalah satu pasukan yang sudah beraksi bersama dan mempunyai pemain utama seperti Cristiano Ronaldo,” kata pertahanan Uruguay, Sebastian Coates yang beraksi bersama kelab Portugal, Sporting.

“Memang dia seorang pemain berstatus bintang dan kami akan tetap menghormatinya.

“Anda tidak membuat persediaan untuk hanya seorang pemain saja, tetapi untuk satu pasukan,” tambah Coates.

Benteng ampuh Uruguay dijangka memberi kesukaran buat Ronaldo selepas gawang mereka masih belum dibolosi setakat ini.

“Kami bertahan dengan baik. Keseluruhan pasukan berjuang sebaik mungkin,” kata Coates.

Perlawanan Sabtu ini dijangka pasti sengit.

“Saya jangkakan perlawanan yang seimbang. Ia akan dilihat secara terperinci dan hanya satu pasukan akan keluar sebagai pemenang,” kata pemain tengah, Matias Vecino.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Jun 2018 @ 11:04 AM