Ahmad Zaini (dua dari kiri) bersama penyokong Hobin Jang Hobin. FOTO MOHD AMIN JALIL.
Mohd Amin Jalil


SEREMBAN: Penyokong skuad Negeri Sembilan meluahkan kekecewaan susulan kekalahan 2-3 kepada Terengganu, dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu, malam tadi.

Presiden Kelab e-Penyokong Bola Sepak Negeri Sembilan (N9futbol.com), Ahmad Zaini Baharun, menegaskan mereka tidak sepatutnya kalah selepas mendahului lawan sebelum tamat babak pertama.

"Masalah mudah bolos pada penghujung aksi masih menjadi `barah' kerana ia bukan sekali tetapi sudah berlarutan dalam beberapa perlawanan sebelum ini, termasuk ketika beraksi di gelanggang sendiri.

"Isu hilang tumpuan dan kesilapan pada saat akhir sepatutnya tidak berulang kerana kini bukan masanya lagi untuk persiapan membentuk pasukan, atau menukar pemain dan jurulatih, tetapi inilah waktunya untuk mencapai kemenangan.

"Kita tidak mempunyai banyak masa kerana saingan liga sudah hampir ke penghujung. Hanya berbaki lima perlawanan lagi, jadi kemenangan amat penting dan pasukan perlu mengutip mata untuk memperbaiki kedudukan dalam liga," katanya hari ini.

Dua gol jaringan Nicolas Velez pada babak pertama gagal dipertahankan skuad Hobin Jang Hobin, apabila mereka terpaksa akur dengan kekalahan 2-3 yang menyaksikan penyerang skuad Penyu, Kipre Tchetche melakar hatrik.

Ahmad Zaini berkata, anak buah Mario Lemos sepatutnya sudah mengubah sikap dengan memberikan tumpuan kepada usaha mencapai kemenangan bermula malam tadi selepas banyak kekalahan sebeum ini.

"Pemain masih melakukan kesilapan mudah walaupun dibimbing tiga jurulatih berbeza,” katanya.

Ketika ini, misi Negeri Sembilan untuk kekal dalam Liga Super musim depan semakin sukar kerana selepas ini mereka akan berdepan PKNS FC, PKNP FC, Melaka United, Selangor dan Kuala Lumpur.

Keterangan gambar:

Ahmad Zaini (dua dari kiri) bersama penyokong Hobin Jang Hobin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Jun 2018 @ 3:17 PM