Young-gwon rai jaringan pertama tembusi Jerman. FOTO EPA-EFE/YONHAP
Agensi  

SEOUL : Sebelum perlawanan menentang Jerman, pemain Korea Selatan yang menjaringkan gol pertama pernah dibenci peminatnya sendiri.

Tahun lalu, Kim Young-gwon dikeji peminat kerana mengadu mereka 'mengecewakan’ dan 'terlalu bising’.

Selepas dua kekalahan kepada Mexico dan Sweden, peminat bola sepak di Korea Selatan tidak henti-henti mengutuk seluruh pasukan.

Namun ketika pasukan bukan pilihan itu berdepan juara bertahan Piala Dunia, sebaik Kim melakukan sepakan pada minit ke-94, semua itu terus diliupakan.

"Saya berdoa dan terus berdoa ia akan gol,” kata pertahanan itu, menurut agensi berita Korea Selatan, Yonhap.

"Jika insiden itu tidak berlaku, tidak mungkin saya akan menjaringkan gol seperti hari ini. Kritikan peminat membuat saya menjadi lebih baik dan bekerja lebih keras.”

Jaringan Kim, begitu juga satu lagi gol menerusi penyerang utama negara itu Son Heung-min, memastikan juara bertahan itu tersingkir daripada Piala Dunia, berada di tangga tercorot kumpulan.

Kedua-dua gol dijaringkan pada minit kecederaan selepas aksi 90 minit yang mendebarkan di mana Jerman mendominasi dan peminat Korea Selatan bersorak setiap kali pasukan mereka cuba menjaringkan gol.

Son mula beraksi di Bundesliga pada 2010 ketika berusia 17 tahun dan bintang Tottenham Hotspur itu pernah berkata bahawa bermain menentang Jerman adalah impian yang sekian lama disimpan.

Namun kemenangan itu tidak membawa sebarang makna buat Korea Selatan yang tetap gagal mara ke pusingan 16 terakhir biarpun beraksi hebat menentang Jerman.

Biarpun secara matematiknya, mereka mungkin berpeluang pasukan itu mungkin memerlukan keputusan berbeza berbanding kemenangan Sweden ke atas Mexico 3-0 dalam satu lagi kumpulan.

"Secara keseluruhan, kami tidak boleh berpuas hati kerana kami tidak berada di peringkat kalah mati,” kata Kim.

"Kami akan tetap pulang dengan penyesalan. Kami akan terus berusaha untuk mara ke peringkat kalah mati Piala Dunia.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Jun 2018 @ 3:41 PM