Skip this ad x
ABDUL Azim (kiri) bertemu atlet terjun negara ketika mengadakan perjumpaan bersama persatuan sukan, pengurus pasukan, atlet jurulatih, wakil MSN dan ISN di Bukit Jalil. -Foto OWEE AH CHUN
Mohd Khairie Khalid


 

BUKIT JALIL: Atlet yang mahu mengambil bahan makanan tambahan perlu mendapatkan kebenaran daripada Institut Sukan Negara (ISN) terlebih dulu.

Perkara itu ditegaskan oleh Chef de Mission (CdM) Kontinjen Malaysia Sukan Asia 2018, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi bagi memastikan sasaran sifar doping di temasya berkenaan bermula Ogos ini, berjaya.

“Kita sudah berbincang dengan ketua pasukan, jurulatih dan sebagainya. Semua makanan tambahan atau apa saja atlet makan perlu mendapat kelulusan daripada ISN terlebih dulu,” kata Abdul Azim pada sesi latihan dalam gimnasium skuad terjun di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil, hari ini.

“Atlet tidak boleh main makan saja makanan tambahan tanpa mendapat kebenaran daripada ISN. “Kita juga akan bertemu dengan Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz (Pengarah Agensi Anti-Doping Malaysia) untuk membuat ujian awal kepada semua atlet yang akan ke Sukan Asia bagi memastikan mereka bebas doping.”

Mengulas lanjut, Abdul Azim yang juga Pengerusi ISN menaruh harapan tinggi supaya sasaran untuk bebas daripada penggunaan doping, barangan larangan dan sebagainya membabitkan kontinjen negara berjaya dilaksanakan.

“Kita sasarkan sifar doping, barangan larangan dan sebagainya untuk Sukan Asia, jadi kita akan bekerja ke arah itu dan saya harap kita berjaya kali ini.

“Insya-Allah semua atlet akan jalani ujian doping. Kita pernah lakukan sifar doping di Sukan SEA Singapura jadi saya harap kita dapat ulangi untuk Sukan Asia,” katanya.

Ketika disoal mengenai isu panas yang mencetuskan kontroversi membabitkan skuad terjun negara baru-baru ini, Abdul Azim menjelaskan ISN sedia memberikan bantuan jika diperlukan termasuklah psikologi.

“Seperti mana saya sebutkan sebelum ini, tak perlu lagi komen mengenai perkara ini kerana kita harus membantu untuk fokus dan berikan tumpuan 100 peratus kepada prestasi, untuk mencapai sasaran pingat.

“Kalau mereka memerlukan khidmat psikologi dan sebagainya, ISN bersedia untuk menawarkan perkhidmatan ini,” katanya yang turut memaklumkan permintaan untuk skuad terjun berlatih di China akan dipertimbangkan semula jika terdapat jaminan ia mampu membantu meningkatkan prestasi atlet.

Temasya Sukan Asia di Jakarta dan Palembang, Indonesia dijadual berlangsung pada 18 Ogos hingga 2 September ini.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Jun 2018 @ 8:24 PM